fbpx

Terbuka China: Aaron-Wooi Yik akur naib juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus kempunan untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam Jelajah Dunia BWF selepas muncul naib juara pada kejohanan Terbuka China sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus kemarau kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) selepas tewas pada perlawanan akhir kejohanan Terbuka China sebentar tadi.

Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou itu, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas 12-21, 14-21 kepada gandingan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam tempoh 26 minit sahaja.

Aksi beregu No.6 dunia itu dilihat cukup berbeza jika dibandingkan ketika mereka menyingkirkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di separuh akhir semalam.

Kelebihan beraksi di laman sendiri turut membantu Wei Keng-Wang Chang pada perlawanan akhir itu apabila mereka diihat bermain lebih tenang berbanding Aaron-Wooi Yik yang melakukan banyak kesilapan mudah.

Selaku juara, Wei Keng-Wang Chang membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM692,122) berserta trofi, manakala Aaron-Wooi Yik berpuas hati dengan AS$70,000 (RM327,355) dan trofi.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik yang mula digandingkan sejak 2017 masih belum meraih sebarang kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia meskipun sudah memiliki gelaran dunia ketika muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia tahun lalu.

Berakhirnya Terbuka China, Aaron-Wooi Yik perlu melakukan persiapan bagi menghadapi aksi Terbuka Hong Kong yang akan membuka tirainya bermula 12 hingga 17 September ini.

Dalam pada itu, gelaran perseorangan lelaki menjadi milik pemain No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen yang berjaya menundukkan wakil tuan rumah, Lu Guang Zu menerusi aksi straight set 21-16, 21-19.

An Se Young dari Korea Selatan mengungguli acara perseorangan wanita apabila menang 21-10, 21-19 ke atas pemain Jepun, Akane Yamaguchi manakala gelaran beregu wanita dimenangi pasangan China, Cheng Qing Chen-Jia Yi Fan selepas menewaskan Baek Ha Na-Lee So Hee.

Sementara itu, juara dunia beregu campuran dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung mengekalkan momentum kemenangan selepas membenam pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-19, 21-12. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI