fbpx

Rakyat tolak naratif politik PN – Khaled Nordin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled, Mohamad serta Chin Tong hadir meraikan kejayaan calon Kerajaan Perpaduan di Bilik Gerakan Utama Jentera PH di Taman Dahlia, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bukti rakyat menolak politik sentimen yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) selama ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat termasuk pengundi Melayu sedar bahawa kesederhanaan dan kepelbagaian kaum adalah langkah terbaik memaju dan memakmurkan negara ini.

Menurut beliau, sokongan masyarakat pelbagai kaum terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membolehkan pentadbiran negara ini berjalan dengan lancar.

“Bagi UMNO, kita akan terus berusaha gigih untuk berdepan segala sentimen dibuat PN kerana ia boleh merosakkan perpaduan dalam negara. Kita bersyukur dan gembira kerana rakyat pilih bersama perpaduan, pilih kesederhanaan dan kerajaan pelbagai kaum, mereka pilih kerajaan yang boleh bawa kemajuan secara baik dan rasional.

“Ini bukti pendekatan menggunakan sentimen agama dan kaum tidak diterima rakyat di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Bilik Gerakan Utama Jentera PH di Taman Dahlia, di sini malam tadi.

Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu pula memberitahu, kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah terbukti dengan kemenangan di kedua-dua PRK tersebut.

“Kemenangan yang dicapai ini adalah hasil daripada kerjasama dan keyakinan antara semua parti dalam kerajaan, khususnya PH dan BN. Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang turun berkempen beberapa kali, termasuklah kepimpinan PH dan BN lain yang turut bersama-sama,” ujarnya.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pula berkata, kemenangan tersebut merupakan kemenangan buat rakyat Malaysia yang memilih politik sederhana dan bukan ekstrem. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI