fbpx

73 kawasan berisiko tinggi dadah berjaya dipulih AADK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Anuar (tengah) melakukan gimik pelancaran Kempen 1 Juta Ahli Skuad Antidadah pada Hari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Masyarakat di IWK Eco Park di sini, hari ini.- Foto FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Sebanyak 73 buah kawasan berisiko tinggi (KBT) dadah di seluruh negara berjaya dipulihkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sehingga Ogos lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian dari kawasan 155 KBT yang dikesan AADK, sebelum ini.

Jelasnya secara keseluruhan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan lima lagi KBT akan berada di tahap risiko rendah sehingga hujung tahun ini.

“Suka saya maklumkan bahawa sehingga bulan Ogos 2023, AADK telah mencapai sasaran 73 buah KBT atau 47 peratus telah berjaya diturunkan risikonya ke tahap rendah.

“Sasaran KDN pada akhir tahun 2023 ini ialah 78 buah KBT daripada 155 KBT akan berada di tahap risiko rendah,” katanya ketika berucap pada Hari AADK Bersama Masyarakat di Lembah Pantai, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, pada 2021, sebanyak 16 kawasan telah berjaya ditukar daripada status KBT ke kawasan bebas dadah (KBD) dan telah diserah hak milik kepada masyarakat setempat.

Antara 16 kawasan tersebut termasuklah Kuala Muda, Kedah, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang, Sanglang di Perlis serta Kajang, Hulu Langat, Selangor.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi memerangi penyalahgunaan dadah, KDN dengan kerjasama ADDK telah melancarkan kempen ke arah Satu Juta Ahli Skuad Antidadah melibatkan 176 daerah di seluruh negara menjelang 2024.

Jelasnya,ketika ini terdapat kira-kira 100,000 ahli Skuad Antidadah di seluruh negara.

“Kempen ini juga adalah berdasarkan kajian prevalen penagihan dadah dalam kalangan belia di Malaysia yang dijalankan oleh KDN bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2022 yang mendedahkan setiap 100 orang belia, enam daripadanya mengaku pernah mengambil dadah, manakala empat mengaku masih aktif mengambil dadah.

“Kegusaran daripada dapatan ini telah mendorong AADK untuk mempergiatkan lagi usaha memberikan kesedaran dan mendidik golongan remaja dan belia untuk menjauhi daripada mengambil dadah,”ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, pada tahun lalu seramai 137,000 penagih dadah berjaya dikesan dan ditahan di seluruh negara.

“Berdasarkan unjuran kita (AADK), setiap seorang penagih ini ada kira-kira tujuh atau lapan orang penagih lain yang masih aktif dan belum dikesan.

“Sebab itu kita anggarkan kira-kira sejuta lagi penagih yang belum dikesan. Kita merayu kepada keluarga yang mengetahui atau mempunyai ahli keluarga yang telibat dengan dadah supaya segera merujuk kepada AADK.

“Jangan segan atau malu untuk tampil kerana kita mempunyai banyak saluran untuk membuat aduan atau datang secara sukarela,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI