JOHOR BAHRU – Seorang warga emas bertindak nekad meninggalkan sementara rawatan yang sedang diterima di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, hari ini.
Daud Ismail, 71, berkata, pada awalnya petugas hospital mahu menghalang niatnya itu tetapi dia tetap bertegas mahu ke pusat pengundian Sekolah Agama Bandar, Jalan Yahya Awal, yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada hospital.
“Pagi tadi saya sudah bersiap untuk pergi mengundi tetapi dilarang petugas hospital dengan alasan kesihatan kurang baik, tetapi saya bertegas juga untuk keluar mengundi.
“Saya beritahu pada mereka, kalau tidak benarkan mengundi hospital kena keluarkan surat kerana mengundi itu hak saya. Jadi, saya tekad keluar dan minta anak angkat ambil untuk bawa ke pusat mengundi,” katanya kepada pemberita.
Tambah Daud, dia mendapatkan rawatan di hospital itu sejak Isnin lalu kerana menghidap penyakit kencing manis, buah pinggang, jantung bengkak dan darah pekat.
“Saya rasa lega sangat apabila sudah selesai. Harapan saya sama seperti orang lain yang benar-benar mahukan wakil rakyat yang dapat memperjuangkan hak rakyat. Saya tak mahu memperjudikan nasib anak cucu saya. Nasihat saya pada orang muda,” katanya.
Daud hadir ke pusat pengundian dengan lengkap berkerusi roda dan memakai uniform hospital beserta ‘drip’ di tangannya.-KOSMO! ONLINE