TEMERLOH – Lokimala yang merupakan ketua gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah serta gajah paling tua mati pada umur 86 tahun semalam.
Lokimala adalah gajah betina dibawa dari India pada 22 Jun 1974 ketika haiwan berkenaan berumur 37 tahun bagi membantu operasi tangkapan dan pemindahan gajah.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, haiwan dengan berat lebih tiga tan itu disahkan mati kira-kira pukul 10.54 pagi semalam.
“Gajah Asia berkenaan dipercayai mati akibat sakit tua dan kita dalam proses melakukan bedah siasat sebelum ditanam dalam masa terdekat.
“Gajah berkenaan akan ditanam dahulu barulah apa-apa proses seterusnya termasuklah pengambilan tulang dan sebagainya,”katanya.
Sepanjang berada di negara ini Lokimala, telah banyak berjasa apabila membantu memindahkan lebih 150 ekor di seluruh negara termasuk di operasi di Merbau Berdarah, Selangor dan Operasi Tasik Kenyir.
Khidmat Lokimala sebagai gajah denak kemudiannya dihentikan selepas gajah berkenaan mengalami masalah penglihatan dan faktor usia pada 2007.
Kesemua ‘mahut’ senior yang menjaga Lokimala juga telah bersara setelah menjaga gajah berkenaan lebih 30 tahun.-KOSMO! ONLINE