BINTANG tengah skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nooa Laine tidak anggap kehadirannya ke Thailand untuk sekadar bercuti sebaliknya mahu menghadirkan kejayaan buat Malaysia.
Walaupun tidak dapat sertai latihan penuh pasukan sejak mula dikumpulkan pada 30 Ogos lalu, Laine tetap bermotivasi untuk merebut tempat kerana enggan sekadar jadi penumpang kepada skuad kali ini.
“Memang bukan minggu yang penuh (berlatih bersama pasukan) namun tiga hari sudah cukup. Target saya adalah untuk bermain dan beraksi di pertandingan kali ini.
“Saya percaya ia juga target semua orang. Sekarang saya rasa cukup bagus selepas harungi perjalanan jauh dan pastinya saya mahu beri sehabis baik untuk bantu pasukan raih kemenangan,” katanya.
Skuad kendalian E. Elavarasan menang 2-0 ke atas Bangladesh pada perlawanan pertama untuk berada di tangga kedua Kumpulan H, dibezakan dengan jumlah jaringan berbanding pendahulu, Thailand yang belasah Filipina 5-0.
Pasukan remaja Harimau Malaya dijadualkan menentang Filipina di Stadium Chonburi, Thailand hari ini.
Sebanyak 16 pasukan terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan dan empat pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan. – KOSMO! ONLINE