fbpx

‘Hari-hari tambang feri RM5, sakitlah macam ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENUNGGANG motosikal menyifatkan kadar tambang feri Pulau Pinang baharu terlalu mahal.

GEORGE TOWN – Para pengguna terutama penunggang motosikal menyifatkan kadar tambang feri Pulau Pinang baharu agak mahal kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan tersebut setiap hari.

Ini berikutan kadar tambang yang dikenakan adalah RM2.50 bagi sehala, manakala RM5 sekiranya berulang-alik antara terminal di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town dan Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.

Seorang penunggang motosikal, Lee Teik Keat, 75, berkata, dia berharap syarikat pengendali feri iaitu Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) mengkaji semula kadar tambang bagi perkhidmatan itu kerana dilihat terlalu tinggi.

“Saya merupakan pekerja kontrak dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan saya perlu berulang-alik dari Tanah Besar ke pulau dengan menggunakan feri setiap hari.

“Jadi jumlah RM5 sehari untuk menggunakan feri agak mahal untuk saya, jadi saya berharap syarikat pengendali feri dapat mengkaji semula kadar tambang ini,’’ katanya ketika ditemui di PRTU di sini semalam.

Sebelum ini, PPSB selaku syarikat pengendali perkhidmatan tersebut memaklumkan kadar tambang untuk perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang yang dikenakan kepada penum­pang bermula pada harga RM1 hingga RM2.50 bagi sehala.

Tambang RM1 itu akan dikenakan kepada individu atau pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah, manakala penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas pula tambang sebanyak RM2 akan dikenakan terhadap mereka.

Selain itu, penunggang basikal yang menaiki feri juga akan dikenakan caj sebanyak RM2, manakala penunggang motosikal pula perlu membayar tambang sebanyak RM2.50 sehala.

Seorang lagi penunggang motosikal, Syazwi Iqbar, 22, pula berkata, kadar tambang RM2.50 sehala itu dilihat agak mahal terutama bagi mereka yang berulang-alik setiap hari.

“Sebelum ini hanya RM2 dikenakan untuk perjalanan pergi dan balik, tetapi sekarang menjadi RM5 untuk perjalanan pergi dan balik,” jelasnya yang sering berulang-alik bekerja. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI