“MASIH segar dalam ingatan, waktu itu hendak makan dengan keluarga pun lauk tak ada.
“Mak kata, kita pergi belakang rumah tengok mana tahu ada ayam bertelur. Kalau ada, dapatlah kami adik-beradik makan, walaupun berkongsi sebiji telur.”
Itu ungkapan pertama yang berbutir dari mulut Ketua Pegawai Eksekutif Zara Awliya (M) Sdn. Bhd., Faridah Hanom Samsudin tatkala mengimbau kembali kisah hidupnya.
Katanya, kesukaran hidup yang ditempuhi keluarga menjadi titik perubahan kepadanya untuk memasang tekad keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Ketika itu, saya rasa perlu lakukan sesuatu dan saya tak boleh duduk diam sahaja. Kalau tidak, hidup keluarga saya tidak akan berubah dan selamanya susah,” katanya.
Bercerita lanjut tentang keluarganya, wanita yang mesra disapa Anum masih ingat tentang kehidupan di kampung yang serba kekurangan ketika zaman kanak-kanak.
Ujarnya, ketika itu hendak beli ubat nyamuk pun mereka sekeluarga tidak mampu.
“Kalau duduk di kampung, nyamuk memang banyak. Ubat nyamuk pula tak ada, duit masa itu hanya ada 80 sen.
“Bayangkan, masa itu kami hendak beli ubat nyamuk pun tidak mampu.
“Jadi saya cakap dengan diri sendiri, sebagai kakak saya kena buat sesuatu,” ujarnya.
Cerita Faridah, semasa memasuki alam pekerjaan, dia bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Ujarnya, niat ketika itu untuk membantu keluarga keluar daripada kemiskinan hidup.
“Walaupun saya telah bekerja, namun sebab gaji tidak besar sangat, macam-macam kerja ‘part time’ saya buat semata-mata hendak cari wang lebih.
“Mula-mula saya daftar sebagai ejen ‘dropship’. Kemudian, saya jadi ejen menjual produk penjagaan kulit sebab bisnes itu tidak guna modal banyak.
“Sambil-sambil itu, saya jual tudung dan kain pasang. Boleh kata macam-macam kerja saya buat ketika itu,” katanya.
Jelasnya, selepas lima tahun berusaha mencari pendapatan dengan menjual pelbagai produk keluaran usahawan lain, dia akhirnya memperkenalkan jenamanya sendiri iaitu Zara Awliya.
“Saya jalankan bisnes Zara Awliya pada tahun 2012. Masa itu, saya jual telekung dan jubah yang dibeli borong daripada pembekal di Jalan Kenanga (Kuala Lumpur).
“Perniagaan saya itu bertahan selama kira-kira tiga tahun, walaupun diusahakan secara kecil-kecilan di rumah pangsa didiaminya.
“Selepas itu, saya nekad untuk berhenti kerja kerana melihat bisnes boleh pergi jauh,” ujarnya.
Akui Faridah, hasil daripada perniagaannya itu, dia bersyukur kerana dapat menghantar kedua orang tuanya ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah selain menggunakan wang hasil perniagaan untuk mengubahsuai rumah keluarga dan membelikan kereta baharu bagi kegunaan mereka.
Ketika Faridah sedang menikmati perubahan hidup yang semakin baik, perniagaannya diuji dengan pandemik Covid-19.
Dia sebagai usahawan turut terjejas. Namun, tidak membiarkan pandemik yang melanda dunia melumpuhkan hatinya sekali gus menggunakan ilmu bisnes yang diperolehinya untuk memajukan perusahaan dan merekodkan jualan tertinggi sewaktu pandemik melanda.
Katanya, sama seperti usahawan lain, dia terus berusaha memperjuangkan perniagaannya.
Tambahnya, dia juga tidak lupa menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan ketika tempoh pandemik di negara ini.