fbpx

Rosmah tetap mohon batal pertuduhan ubah wang haram, elak cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

KUALA LUMPUR – Meskipun dua saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan, Datin Seri Rosmah Mansor tetap memfailkan permohonan untuk membatalkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah, 72, selaku pemohon memfailkan permohonan tersebut menerusi Tetuan Reza Rahim & Rajivan di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Rosmah memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan tersebut yang dikenakan terhadapnya pada 4 Oktober 2020.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Rosmah mendakwa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah tanpa asas, defektif selain tidak mendedahkan sebarang kesalahan dalam undang-undang.

“Kesemua pertuduhan tersebut secara asasnya adalah berlandaskan bahawa saya telah kononnya gagal untuk memfailkan pulangan yang diperlukan dibawah seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan, 1967 (Akta 53) yang bertentangan dengan seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pada masa material, Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah menyerahkan kepada saya sebarang taksiran, permintaan dan tuntutan seperti yang diperuntukkan dibawah Akta Cukai Pendapatan 1967 tersebut yang menjadikan jumlah tersebut boleh dikenakan bayaran,” dakwanya.

Dakwa Rosmah lagi, hanya Special Commissioners of Income Tax (SCIT) yang mempunyai hak untuk menentukan sekiranya jumlah tersebut adalah tertakluk kepada pembayaran cukai dan bukannya mahkamah.

“Jika mahkamah jenayah meneruskan dengan penentuan tersebut (iaitu samada jumlah tersebut perlu pembayaran cukai) maka ia akan mengambil alih fungsi SCIT yang merupakan satu badan yang telah diberi kuasa melalui undang-undang bertulis.

“Saya mempunyai hak substantif dan hak perlembagaan untuk dilayan secara saksama dan mempunyai hak perundangan substantif dibawah Bahagian VI Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan rayuan terhadap apa-apa taksiran yang dilakukan oleh pihak LHDN yang jelas dinafikan kepada saya dalam kes ini,” katanya.

Rosmah didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi lima pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Dalam pengurusan kes hari ini, Rosmah tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn.

Justeru Hakim K.Muniandy kemudian menetapkan 13 Disember ini bagi pendengaran permohonan itu.

Sebelum ini, perbicaraan bagi kes itu telah bermula pada 24 Ogos lalu dengan dua saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI