fbpx

Pengilang diminta serah 20 peratus kuota padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta pengilang padi menyerahkan 20 peratus kuota padi untuk diproses Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi menghasilkan beras putih tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohammad Sabu berkata, tindakan tersebut adalah sebahagian usaha jangka pendek menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras ketika ini.

“FAMA juga diarahkan untuk membantu memasarkan 20 peratus kuota beras ke lokasi-lokasi yang mengalami kekurangan bekalan beras putih tempatan.

“Pihak KPKM menyasarkan situasi kekurangan ini dapat diatasi dengan kadar yang segera,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, pada Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM Bersama Pemain Industri dan Pihak Berkepentingan di bawah Sektor Padi dan Beras di Mardi, serdang hari ini, Mohammad menjelaskan, kementeriannya memberi jaminan harga beras tempatan masih terkawal di pasaran.

Tambah beliau, masyarakat tidak perlu bimbang dengan perkara tersebut kerana pihaknya akan memastikan bekalan beras mencukupi.

“Yang pentingnya harga barang tempatan tidak naik kekal dengan RM26 sekampit ataupun RM2.60 sekilo, beras import masih terkawal. Insya-Allah terkawal dan mencukupi,” ujarnya.

Sebelum ini, KPKM mengesyaki wujud tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import.

Tambahnya, ia kerana permintaan terhadap beras putih tempatan yang harganya dikawal kerajaan, mencatat peningkatan agak mendadak susulan lonjakan harga beras import. – KOSMO!

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI