fbpx

Dua sahabat dijemput Ilahi, Perodua Myvi dinaiki bertembung treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Perodua Myvi yang remuk akibat perlanggaran dengan sebuah treler di KM 39.3 Muar arah Tangkak, Sagil, Segamat, semalam. (Gambar kanan Muhammad Hazim).

SEGAMAT – Jenazah dua rakan karib yang maut selepas sebuah Perodua Myvi yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 39.3, Jalan Muar-Tangkak, di Sagil, di sini selamat dikebumikan sebelum maghrib, petang semalam.

Muhd. Haziq Abdul Halim, 26, abang kepada pemandu Perodua Myvi, Muhammad Hazim Abdul Halim, 25, berkata, allahyarham adiknya itu berkawan rapat sejak di sekolah rendah bersama Allahyarham Muhamad Fikri Amaludin, 24.

“Mereka sangat akrab walaupun kini Muhammad Hazim menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak manakala Muhamad Fikri penuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Saya masih terkejut dan bagaikan tidak percaya dengan apa yang diberitahu melalui WhatsApp rakan saya mengenai kemalangan itu. Mereka akhirnya pergi menemui ajal ditakdirkan bersama-sama.

“Walaupun masih terkejut dengan pemergian mereka, tetapi saya reda kerana ajal maut di tangan Tuhan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jenazah Muhammad Hazim yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu disolatkan di surau berhampiran di Kampung Paya Merah sementara jenazah arwah Muhamad Fikri di Masjid Kampung Tenang.

Muhammad Hazim dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Paya Merah, Labis manakala jenazah penumpang Muhamad Fikri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tenang kira-kira pukul 6.30 petang.

Dua jenazah penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu tiba di Labis selepas selesai bedah siasat di Unit Forensik Hospital Daerah Tangkak, Tangkak.

Lebih 200 orang terdiri daripada keluarga, sanak saudara, rakan dan penduduk menghadiri kedua-dua majlis pengebumian yang berakhir sebelum maghrib petang.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori treler di Kilometer (KM) 39.3 Jalan Muar-Tangkak, di sini, pagi semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI