fbpx

Euro 2024: Southgate enggan panggil Sterling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STERLING gagal memikat perhatian Southgate biarpun terdapat kekosongan ekoran kecederaan Grealish dan Alexander-Arnold. - AFP

LONDON – England tidak akan memanggil pemain sayap Chelsea, Raheem Sterling menggantikan tempat Jack Grealish dan Trent Alexander-Arnold yang terpaksa digugurkan kerana masalah kecederaan.

Bintang Manchester City dan Liverpool itu terpaksa disisihkan selepas masing-masing mengalami kecederaan paha serta hamstring, sekali gus terlepas dua aksi antarabangsa menentang Ukraine dan Scotland.

Situasi itu menyaksikan nama Sterling disebut-sebut bakal mendapat panggilan The Three Lions berdasarkan prestasi semasanya dengan dua gol dalam empat aksi Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea musim ini.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate dikatakan gembira dengan baki skuadnya dan tidak akan memanggil pemain berusia 28 tahun itu sebagai pengganti kepada Grealish ataupun Alexander-Arnold.

“Kedua-dua pemain itu telah melaporkan diri di St. George’s Park, tetapi terpaksa digugurkan daripada skuad susulan pemeriksaan terhadap masalah kecederaan yang dialami mereka sebelum ini.

“Semua pemain tiba seperti dijadualkan kecuali Kieran Trippier yang akan melapor diri pada Rabu kerana urusan peribadi. Tiada panggilan lain buat masa ini,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak England.

Walaupun tanpa Grealish dan Alexander-Arnold, England dijangka tiada masalah untuk merakam kemenangan ke atas Ukraine dalam aksi kelayakan Kejohanan Euro 2024 yang akan berlangsung di Wroclaw, Poland awal pagi Ahad ini.

Trio serangan England akan diketuai Bukayo Saka, Marcus Rashford dan Phil Foden selain turut memanggil penyerang Arsenal, Eddie Nketiah untuk menggempur kubu Ukraine dan Scotland pada 13 September ini. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI