fbpx

Kaunter Imigresen CIQ dibuka lebih banyak, memudahkan pemilih pulang mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CALON PH Parlimen Pulai, SUHAIZAN (dua dari kanan) berbual dengan Zulkifli (PN) ketika hadir meninjau perjalanan undi awal bagi Parlimen Pulai di PPM Wilayah Dua, Johor Bahru hari ini. -Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Pihak Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dijangka akan membuka lebih banyak kaunter memudahkan pemilih yang tinggal dan bekerja di Singapura pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, beliau telah mengemukakan permintaan itu supaya lebih ramai yang mencari rezeki di Republik itu dapat pulang menunaikan kewajiban mereka.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana dianggarkan hampir 30 peratus pengundi di Pulai merupakan mereka yang bekerja di Singapura.

“Saya telah berhubung dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pembukaan lebih banyak kaunter bagi memudahkan pemilih yang bekerja di Singapura pulang untuk mengundi.

“Ini membolehkan pemilih yang bekerja di Singapura dapat pulang dengan selesa pada Jumaat dan Sabtu ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Tampoi, di sini hari ini.

Terdahulu, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu sempat meninjau keadaan di pusat pengundian awal itu.

Turut hadir ialah lawannya bagi merebut kerusi Parlimen Pulai iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohd. Fauzi.

Suhaizan berkata, kajian selidik dan temubual yang dijalankan mendapati pekerja Malaysia di Singapura itu menyatakan komitmen mereka untuk pulang mengundi pada PRK ini.

“Bukan semua 30 peratus pengundi yang bekerja di Singapura tinggal di sana, kebanyakannya adalah mereka yang berulang-alik ke Republik itu.

“Ada yang mengadu merasa sedih tak dapat melaksanakan tanggungjawab kerana terpaksa bekerja pada Sabtu, ada juga yang menyatakan kesungguhan untuk pulang mengundi di Pulai.

“Kita berharap peratus pemilih yang bekerja di Singapura ini dapat keluar mengundi adalah tinggi seterusnya membantu kemenangan Pakatan Harapan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI