PETALING JAYA – Keluarga yang terpaksa tinggal bersesak dalam satu rumah perlu memiliki sikap toleransi yang tinggi bagi memastikan keharmonian antara mereka terpelihara.
Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, tanpa sikap toleransi yang sewajarnya boleh mengundang pelbagai implikasi negatif seperti mudah berasa kecil hati antara satu sama lain.
“Sesebuah keluarga memerlukan rumah dan ruang yang mencukupi dan selesa untuk semua, tetapi tidak semua seperti itu. Sebagai sebuah masyarakat kita kena terima realiti semasa ini.
“Seperti kita ketahui apa-apa boleh berlaku seperti ada terasa hati jika berlaku sesuatu isu. Jadi keluarga yang mengalami keadaan itu perlu membuat adaptasi supaya tidak berlaku konflik dalam keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohammad Shatar berkata, antara yang boleh dilakukan oleh keluarga seperti itu adalah berbincang apakah yang terbaik untuk mereka bersama menduduki rumah berkenaan tanpa menjejaskan keharmonian.
Antara contoh terpenting adalah berhubung giliran menggunakan bilik tidur oleh pasangan kelamin perlu diperbincangkan dan dipersetujui oleh semua.
“Mungkin boleh mengadakan giliran siapa yang boleh gunakan bilik yang tertentu pada masa tertentu. Mereka tidak boleh dapat seperti dikehendaki, tetapi itu yang terbaik.
“Perbincangan dan persetujuan bersama boleh membantu mewujudkan keharmonian dan dalam masa sama setiap ahli keluarga perlu terima realiti sebenar mereka sedang hadapi,” katanya.
Menurut Shatar, jika ada kanak-kanak, mereka wajar dibawa melakukan aktiviti luar rumah seperti beriadah di taman permainan dan sebagainya.
Kata beliau, langkah tersebut sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan ruang untuk mereka bermain kerana kanak-kanak juga memerlukan ruang untuk aktiviti demikian.














