fbpx

Mahkamah: Bekas amah Indonesia saman majikan, tuntut gaji tertunggak sepanjang 9 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Defri (empat kanan) bersama peguam yang mewakilinya ketika ditemui pemberita selepas prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang bekas pembantu rumah atau amah warga Indonesia memfailkan tuntutan sivil terhadap bekas majikan yang tidak membayar tunggakan gajinya berjumlah lebih RM195,000 selama tempoh sembilan tahun.

Derfi Bisilisin,36, selaku plaintif turut menyaman bekas majikannya, Koe Boon Aik, 48, bagi kesakitan, penderitaan yang dialaminya dan ganti rugi khas RM50,000 selepas mengalami kecederaan akibat dipukul defendan.

Derfi memfailkan dua tuntutan berasingan iaitu gaji sebagai pembantu rumah berjumlah RM92,275.36 dan sebagai pekerja kedai aksesori bernilai RM103,370.97 di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Menerusi tuntutan tersebut, dia diambil bekerja sejak 2011 oleh majikannya melalui ejen pekerjaan dan ditawarkan sebagai pembantu rumah.

Derfi ditawarkan gaji awal RM600 sebulan dengan kenaikan sebanyak RM50 setahun dan sepatutnya menerima pendapatan bulanan RM1,100 sehingga akhir perkhidmatan pada 2020.

Sepanjang berkhidmat dengan defendan, dia mendakwa tidak diberi tempat tidur yang selesa, diberi makan hanya sekali sehari selain diperlakukan dengan tindakan kasar termasuk dimarah dan ditampar majikannya sehingga berdarah.

Pada November 2021, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur melantik peguam bagi mewakili plaintif untuk melakukan dua tuntutan iaitu gaji sebagai pembantu rumah dan sebagai pembantu kedai aksesori kereta.

Derfi ketika ditemui pemberita berkata, selain melakukan kerja pembantu rumah seperti membasuh pinggan dan memasak, dia juga disuruh oleh majikannya untuk bekerja di sebuah kedai aksesori kenderaan sepanjang waktu siang walaupun perkara itu tidak termaktub dalam perjanjian kontrak pekerjaannya.

Menurut wanita yang berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur itu, majikannya turut menyuruh dia tidur di atas lantai di ruang tamu rumah dan tidak dibayar gaji sepanjang tempoh perkhidmatan bermula 23 Julai 2011 sehingga dia melarikan diri pada 29 Oktober 2020.

“Saya berhak menuntut keadilan. Saya datang dari jauh dan tinggalkan keluarga di Indonesia untuk bekerja untuk mereka, tetapi majikan langsung tidak hiraukan saya. Saya bukan minta dilayan istimewa, tetapi hargailah saya sebagai seorang manusia, bukan binatang,” katanya sambil menangis.

Perbicaraan kes berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan bersambung esok.

Derfi diwakili peguam Alias Ibrahim manakala defendan diwakili peguam Tara Singh Delip Singh. Perbicaraan turut dihadiri Setiausaha Kedua Konsulat KBRI, Ardina Desnita Tinaor.

Sebelum ini, defendan dihukum penjara tujuh tahun manakala isterinya tiga tahun penjara serta didenda RM30,000 selepas didapati bersalah mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana eksploitasi kerja paksa pada Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI