fbpx

MotoGP: Aprilia catat kemenangan 1-2 di Catalunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelumba Aprilia, Aleix Espargaro meraikan kejayaan ketika memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Catalan di Litar Catalunya sebentar tadi.

BARCELONA – Sejarah baharu dilakar pasukan Aprilia pada perlumbaan Grand Prix (GP) Catalan di Litar Catalunya sebentar tadi selepas dua pelumbanya, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales mencatat kemenangan 1-2.

Kejayaan tersebut boleh dianggap sebagai detik paling manis buat pasukan dari Itali itu memandangkan ia adalah kemenangan 1-2 pertama yang dicatat Aprilia dalam kelas perdana pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Sebelum ini, pencapaian terbaik Aprilia di Litar Catalunya adalah menerusi Espargaro pada edisi tahun lalu di mana dia menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima selepas melakukan sedikit kesilapan di penghujung saingan.

“Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata kerana saya sangat gembira dengan keputusan perlumbaan hari ini. Saya juga lega kerana tidak ada apa-apa yang berlaku kepada saya pada permulaan (perlumbaan) pertama.

“Secara jujur, perlumbaan sangat sukar kerana saya agak bergelut, terutamanya dengan keadaan berangin selain Maverick (Vinales) yang cukup kuat. Saya cuba mengubah perancangan dan ia membuahkan hasil,” kata Espargaro selepas tamat perlumbaan.

Mengiringi Espargaro dan Vinales di podium selepas perlumbaan tersebut adalah pelumba pasukan Pramac Racing, Jorge Martin yang menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengenepikan saingan Miguel Oliveira dari pasukan RNF Racing.

Terdahulu, perlumbaan terpaksa dihentikan seketika selepas beberapa pelumba terlibat dalam insiden melibatkan lima jentera di selekoh pertama selain pelumba Ducati, Francesco Bagnaia yang mengalami kemalangan ‘high side’ sebelum kakinya digilis Brad Binder.

Kemalangan tersebut menyebabkan pendahulu kejuaraan dunia itu terpaksa dibawa ke pusat perubatan bagi menilai tahap kecederaan sebelum dia dipindahkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Saya harap tidak ada sesuatu yang serius berlaku kepada Pecco (Bagnaia). Kemenangan ini adalah untuknya kerana saya sangat risau dengan apa yang berlaku kepada Pecco,” ujar Espargaro. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI