fbpx
Para pengunjung menikmati kopi dan biskut kering di warung ‘singgah’ yang menggamit nostalgia dulu-dulu di Kampung Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Bersantai di warung retro, nikmati kopi percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja menjejakkan kaki ke sebuah warung kopi terletak di Kampung Lahar Tiang dekat Kepala Batas, Butterworth, Pulau Pinang secara tidak langsung lagu Semakin Hari Semakin Sayang yang pernah popular lewat tahun 1970-an dendangan Uji Rashid menerjah fikiran.

Manakan tidak, mereka yang datang bertandang ke warung ‘singgah’ yang dikenali sebagai Kopi Khita itu akan terpana dengan suasana retro era 1970-an yang dipamerkan menerusi dekorasi beberapa barangan vintaj yang begitu sederhana sebagai pelengkap sesuai dengan tema warung kopi pada zaman tersebut.

Pemilik Kopi Khita, Muhammad Zaini Md. Radzi, 29, berkata, konsep warungnya mudah iaitu mahu menjamu mereka yang bertandang ke situ dengan hidangan sama ada kopi ‘o’ panas atau sejuk, sirap selasih dan biskut tawar sahaja secara percuma berlatarbelakangkan suasana tahun 70-an.

“Ramai orang anggap warung ini sediakan servis makanan dan minuman, namun ia hanyalah tempat atau ‘port’ penduduk kampung dan sesiapa jua duduk bersembang sambil minum kopi serta makan biskut kering seperti zaman dulu-dulu.

“Malah, tiada sebarang caj dikenakan kepada mereka yang datang ke sini sebaliknya dijamu dengan hidangan air panas atau sejuk dan biskut kering atau orang Utara panggil roti kering sahaja.

“Justeru, warung Kopi Khita ini bukanlah premis perniagaan. Ia umpama warung ‘singgah’ untuk orang datang bersembang sambil nikmati kopi,” katanya yang merupakan anak jati kampung itu kepada Panorama.

Muhammad Zaini atau mesra disapa Mat Eni berkata, Kopi Khita diusahakan sejak dua tahun lalu yang pada permulaannya hanyalah sebagai lokasi bergambar ketika sambutan Aidilfitri dan

Aidiladha bersama sanak saudara dan teman sekampung.

“Asalnya saya buat (warung) ini sempena Hari Raya saja sebagai tempat atau prop rakam gambar kenang-kenangan bagi keluarga serta rakan-rakan penduduk kampung yang datang beraya di rumah saya yang terletak di hadapan warung ini.

Muhammad Zaini mengubah suai motosikal lamanya dengan meletakkan tempat meletak kopi, biskut dan dapur mini.

“Namun, setelah tular di Tik Tok pada tahun ini, ramai hubungi saya dan bertanya lokasi warung kerana berminat untuk merasai sendiri ‘vibes’ 70-an di warung ini,” jelasnya.

Tambah Mat Eni, pembinaan warung yang sederhana itu turut dibantu sepupunya, Mohd. Asri Azmi, 26, serta kenalan rapatnya Muhammad Faiz Mohd. Noor, 28 dan beberapa penduduk setempat.

Jelas Mat Eni, sebelum idea membina warung tersebut muncul, pihaknya terlebih dahulu menyediakan hidangan kopi dan biskut secara bergerak iaitu menggunakan motosikal dengan menemui penduduk setempat di sekitar Kepala Batas setiap kali mempunyai kelapangan.

“Sebelum bina warung ini, saya menggunakan motosikal lama jenama Yamaha CDI yang diubah suai mempunyai tempat simpanan kopi, gula, biskut serta dapur mini di tempat duduk belakang.

“Setiap kali saya berhenti, penduduk pasti akan datang beramai-ramai untuk merasai kopi sambil makan biskut kering. Mereka terkejut apabila saya kata percuma,” katanya yang bekerja sendiri.

Dia yang juga merupakan pengumpul barangan vintaj sejak berusia 12 tahun berkata, barangan lama antaranya papan-papan tanda, mangkuk tingkat, cawan lama, teko, almari, bingkai gambar, majalah, surat khabar lama dan beberapa barangan antik lain dibeli di pasar karat dan kedai besi buruk sekitar negeri ini untuk dijadikan prop warungnya bagi menyerlahkan lagi suasana 1970-an.

Mat Eni yang bercita-cita menjadi usahawan berkata, jika ada rezeki buat tetamu yang bertandang ke warungnya, mereka akan berpeluang merasai beberapa jenis juadah yang disediakan oleh penduduk kampung juga secara percuma.

“Jika ada rezeki para tetamu, dapatlah mereka merasai hidangan makanan lain seperti bihun goreng atau apa jua juadah kuih-muih yang disediakan oleh penduduk kampung secara percuma,” katanya yang menyifatkan memberi makanan mahupun minuman kepada orang ramai adalah kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Mat Eni berkata, sehingga kini pihaknya tidak bercadang untuk mengenakan sebarang caj kepada pengunjung kerana objektifnya adalah ingin mempromosikan suasana retro 1970-an selain menyifatkan aktiviti tersebut sebagai merapatkan ukhuwah sesama anggota masyarakat.

Menurutnya, warung Kopi Khita hanya dibuka pada hari Ahad bermula pukul 2 petang sehingga 7 petang.

“Saya buka hari Ahad saja disebabkan kalangan kami terikat dengan komitmen kerja. Jadi hari Ahad sahajalah mereka tidak bekerja dan berkelapangan. Kalau saya sahaja yang uruskan memang tak menang tangan,” katanya.

Dia menambah, dalam satu hari, sebanyak 60 hingga 100 cawan air kopi dihidangkan kepada mereka yang datang bertandang ke warungnya, manakala modal yang dikeluarkan adalah kira-kira RM100.

“Modal untuk kopi, gula, biskut serta lain-lain hidangan adalah daripada peruntukan sendiri meskipun ada yang menghulurkan wang sebagai bayaran. Namun, saya tidak ambil (bayaran) sebaliknya menyediakan tabung sumbangan ikhlas buat mereka yang ingin menyumbang.

“Wang itu juga sedikit sebanyak akan digunakan untuk kegunaan perjalanan warung ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata dia berasa seronok dan teruja setiap kali ada pengunjung yang datang bertandang ke warung tersebut.

“Memang seronok.. pada masa sama kami juga akan berpakaian retro bagi menghidupkan lagi suasana. Antaranya kami akan pakai baju dari jenama makanan dan minuman ‘otai’ seperti Yeo’s,

Kickapoo dan beberapa pakaian yang popular zaman 70-an atau 80-an yang mungkin sudah tiada pengeluarannya di pasaran,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Perai.

Asri berkata, ada dalam kalangan pengunjung turut bertanyakan tema pakaian jika ingin ke warung mereka, namun dia menjelaskan bahawa tidak perlu berbuat demikian kerana tiada tema pakaian yang ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN