fbpx

Aiskrim Hello diperkenal Sharnaaz bakal buka 80 cawangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARNAAZ beramah mesra bersama pelanggan Hello di Mahkota Parade, Melaka.

MELAKA – Aiskrim yogurt Hello yang diperkenalkan oleh pelakon terkenal Sharnaaz Ahmad, sebagai rakan jenama bakal membuka 80 cawangan kiosk di seluruh negara dan di Indonesia, pada tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hello, Aliza Ali, sehingga kini sebanyak lima cawangan Hello telah dibuka termasuk di pusat beli-belah 1 Utama, Menara Mustapha Kamal, Jakel Mall, KTCC Mall dan terbaharu di Mahkota Parade dekat sini.

Katanya, jumlah rangkaian itu akan diperluaskan di negeri lain di seluruh negara susulan sambutan menggalakkan yang diterima daripada penggemar aiskrim berasaskan yogurt.

“Kini Hello telah membuka cawangan kelima di Mahkota Parade dan kita menyasarkan untuk memperkenalkan Hello di 75 lokasi lain di seluruh negara serta di Indonesia.

“Hello menawarkan aiskrim berasaskan yogurt tanpa gula yang mengambil kira keseimbangan gizi makanan pada harga berpatutan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian pembukaan cawangan kelima Hello di Mahkota Parade di sini, semalam.

SHARNAAZ bergambar bersama pelanggan Hello di Mahkota Parade, Melaka.

Tambahnya lagi, pembukaan 80 cawangan itu secara langsung turut menyediakan 800 peluang pekerjaan kepada orang ramai yang ingin menjadi sebahagian daripada keluarga Hello.

“Kami juga membuka peluang kepada orang ramai yang bercita-cita memulakan perniagaan Hello terutama golongan wanita dan belia yang mahu menjadi usahawan,” katanya.

Sementara itu, Sharnaaz turut menzahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai yang memberi sokongan kepada Hello menerusi sambutan luar biasa diterima jenama itu.

“Pembukaan Hello di Mahkota Parade ini juga sebenarnya merupakan hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-38 pada 30 Ogos lalu.

“Saya sangat terharu dengan sokongan padu rakyat Malaysia yang sentiasa menantikan Hello dibuka di negeri kelahiran mereka. Insya-Allah Hello akan menembusi di seluruh pelosok negeri di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak serta Indonesia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI