GEORGE TOWN – Seorang guru lelaki yang meninggal dunia ketika menyelamatkan anaknya daripada lemas di Pantai Miami, Batu Ferringhi di sini kelmarin sempat memuat naik gambar percutian keluarganya setengah jam sebelum kejadian berlaku.
Mangsa, Haryadi Salleh atau lebih dikenali sebagai Ustaz Haryadi, 43, merupakan guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hitam, Kedah dan dikatakan telah berkongsi gambar-gambar mereka lima beranak kira-kira pukul 4 petang.
Seorang rakannya mendakwa, Haryadi kebiasaannya tidak banyak memuat naik gambar dalam jumlah yang banyak di Facebook (FB) miliknya.
“Dia (Haryadi) muat naik banyak gambar di FB, berbeza seperti sebelum ini. Gambar mereka berswafoto lima beranak, bersama isteri dengan salah seorang anak, gambar anaknya di tepi tembok laut Padang Kota Lama dan video suasana termasuk di persisiran Pantai Batu Feringghi.
“Arwah juga sempat membalas komen seorang rakan di FB miliknya. Memang kami terkejut akan kehilangannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya lagi, arwah yang berasal dari Tawau, Sabah itu seorang yang suka permudahkan urusan orang lain selain mempunyai tutur kata yang lembut.
Terdahulu, tinjauan Kosmo! di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang pagi semalam mendapati, isteri Haryadi bersama ahli keluarga serta rakannya hadir untuk membawa pulang jenazah yang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Batu, Kedah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas semasa mahu menyelamatkan anak lelakinya berusia 13 tahun daripada dibawa arus.
Bagaimanapun, anak mangsa selamat.
Ketika kejadian, mangsa diselamatkan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah diberi rawatan awal oleh seorang doktor yang kebetulan ketika itu sedang bercuti di lokasi kejadian.















