fbpx
KIM SEO-HO

Kim Seon-ho, satu malam di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN bukan artis Korea Selatan pertama yang menjejakkan kaki di negara ini, tetapi momen satu malam persinggahan aktor Korea Selatan, Kim Seon-ho di ibu negara baru-baru ini meninggalkan memori indah di hati penggemar.

Tampil dalam sesi bertemu peminat di Mega Star Arena Sg Wang, sebelum menyertai acara tersebut, penulis terdetik, apakah nilai utama menyebabkan bintang The Childe itu berada pada tahap populariti yang tinggi.

Barangkali, senyuman menawan serta wajah comelnya yang menjadi bonus serta daya tarikan hingga digilai ramai.

Sebaik bertentang mata, barulah penulis sedar, rupa-rupanya perkara utama membuatkan lelaki tampan itu diminati ramai disebabkan karakternya yang mudah mesra selain pandai melayan peminat.

Sebelum ini, Seon-ho terpalit dengan spekulasi menghamilkan serta didakwa menyuruh bekas kekasihnya menggugurkan kandungan.

Susulan itu, aktiviti seninya terpaksa ‘dibekukan’ buat sementara waktu hingga menunggu kesahihan dakwaan tersebut.

SEON-HO dipuji ramai kerana kesungguhannya melakukan kajian tentang Malaysia apabila berjaya melukis bunga raya, KLCC dan cendol dengan sempurna di atas topi untuk diberikan kepada peminat.

Akhirnya,pada tahun lalu, bintang naskhah Hometown Cha-Cha-Cha itu didapati tidak bersalah, sekali gus imejnya yang tercalar segera berlalu pergi.

Setelah berehat selama beberapa bulan, Seon-ho tampil buat pertama kali di layar perak menerusi The Childe.

Naskhah tersebut tular dan menerima banyak pujian berikutan penghayatan yang begitu mengesankan.

Meskipun Seon-ho mengakui karakter, Gwigongja seorang lelaki bangsawan lakonannya kali ini bukanlah sesuatu yang sukar, tetapi dia agak tertekan menjayakan beberapa babak, khususnya melibatkan aksi pertarungan.

“Sebenarnya mental saya ‘berperang’ untuk menjayakan filem tersebut kerana takut kepada ketinggian memandangkan dalam The Childe, saya perlu banyak lompat dan berlari.

BINTANG Hometown Cha-Cha-Cha itu berjanji untuk kembali lagi bertemu peminat di Malaysia selepas ini.

“Namun, pada asasnya, sangat mudah untuk menjayakan karakter ini kerana jalan ceritanya sangat mudah difahami,” katanya dalam pertemuan bersama media Malaysia.

Meneruskan perbualan mengenai The Childe, Seon-ho memaklumkan antara babak yang tidak boleh dilupakan sepanjang menjayakan karakter dalam filem tersebut adalah adegan penutupnya.

“Ada satu momen yang tidak boleh dilupakan adalah babak akhir dalam filem tersebut di mana semua orang kena berkumpul untuk mencari jalan menyelesaikan masalah.

“Pengarah turut meletakkan sepenuh usaha untuk memperlihatkan babak tersebut lebih bagus dan menyuntik elemen kejutan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, pujian perlu diberikan kepada pasukan Seon-ho iaitu pihak penganjur PUPL Live World dan Happee Hour yang menyediakan pelbagai aktiviti ketika perjumpaan dengan peminat di Malaysia baru-baru ini.

Antaranya adalah permainan tradisional, sukan bersama peminat dan melukis.

Aktor yang dikenali dengan nama Hong Bang-jang itu sangat mesra berkomunikasi dengan peminat pada acara One Two Three, Smile yang diadakan di Mega Star Arena, baru-baru ini.

KIM Seon-ho meluangkan masa lebih dua jam dalam acara bertemu peminat, One Two Three, Smile yang diadakan di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 18 Ogos lalu.

Juadah lokal

Selain menikmati keindahan tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur, Seon-ho mengakui jatuh cinta apabila mencuba pelbagai juadah tempatan seperti cendol, teh tarik dan nasi lemak.

“Saya sangat suka makan cendol. Rasanya sama seperti bingsu. Tekstur cendol berwarna hijau seperti jeli membuatkannya lebih menarik.

“Selain itu, saya juga sudah minum teh tarik dan makan nasi lemak. Ramai yang meminta saya cuba keunikan sambalnya yang seakan-akan gochujang (cili pes Korea),” seloroh lelaki berlesung pipit itu ambil tertawa.

Pada pertemuan bersama peminat juga, Seon-ho meluangkan masa melakonkan babak dramanya mengikut permintaan peminat bertuah.

Lebih menyeronokkan, pemenang anugerah pelakon lelaki terbaik di MBC Drama Awards 2017 itu sempat menunjukkan skil melukis beberapa signatur Malaysia antaranya, menara berkembar KLCC, bunga raya, bentuk hati pada topi dan cendol.

Topi hasil kreativiti berserta tanda tangan Seung-ho turut diberikan kepada seorang peminat bertuah yang hadir pada malam berkenaan.

Berkongsi mengenai keadaannya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, aktor Touching The Void itu selesa dengan cuaca negara biarpun jauh berbeza berbanding Korea Selatan.

Dia turut menghargai peminat yang hadir pada malam perjumpaan peminat dan menyimpan hasrat untuk kembali lagi ke Malaysia.

“Ini kali pertama saya ke Malaysia dan saya suka cuaca di sini yang lebih sejuk daripada Korea Selatan.

“Malah, saya tidak menyangka dengan sambutan peminat di Malaysia yang begitu hebat.

“Terima kasih kepada semua yang sudi hadir malam ini. Saya teruja untuk kembali ke Malaysia selepas ini,” tuturnya.

Apa yang menariknya juga, acara berdurasi lebih dua jam tersebut turut menyaksikan pelbagai ragam peminat, antaranya ada yang menangis teruja, tidak percaya dapat berjumpa dengan Seon-ho.
Kehadiran Seon-ho ternyata meninggalkan kesan buat peminatnya.

SEMASA di Kuala Lumpur, aktor berlesung pipit itu sempat berkunjung ke beberapa lokasi seperti KLCC dan Dataran Merdeka.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN