fbpx

Hayati kemerdekaan dengan semangat patriotisme tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MERDEKA! Merdeka! Merdeka!. Itulah ungkapan yang akan dilaungkan setiap kali tibanya tarikh keramat 31 Ogos.

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan merdeka sebagai bebas (daripada penjajahan, kurungan, naungan), lepas (daripada tebusan, tuntutan), berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.

Menurut Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zaid Ahmad, dalam konteks negara pula, kemerdekaan adalah bebas daripada kuasa penjajahan.

“Sebenarnya, kemerdekaan meliputi soal kenegaraan dan individu.

“Namun negara yang merdeka, tetapi rakyatnya terbelenggu dengan pelbagai masalah, dikuasai pemikiran dan cara hidup, sebenarnya masih belum merdeka,” katanya.

Jelasnya, jika rakyat bebas melakukan apa sahaja untuk dirinya, tetapi negara masih dijajah, maka tidak bererti merdeka sepenuhnya.

Tambahnya, Malaysia telah menggunakan sepenuhnya nikmat kemerdekaan untuk mencapai kecemerlangan dan pemba­ngunan.

“Kemerdekaan negara telah mengubah banyak cara hidup masyarakat dalam merealisasikan erti kemerdekaan sebenar.

“Malangnya, sebahagian daripada kita masih tidak berubah dan di takuk lama. Kemerdekaan hanya pada status negara, tetapi tidak pada diri sendiri.

“Perkara sedemikian yang perlu diberi perhatian ketika ini adalah mengelak negara kita kembali dijajah,” ujarnya.

Senada dengan Zaid ialah Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid yang menyifatkan pengorbanan dan semangat perjuangan yang dilakukan generasi terdahulu mesti diteruskan dalam skop mengisi kemerdekaan.

Jelasnya, jika pejuang kemerdekaan menghalau penjajah keluar dari negara ini, generasi hari ini pula perlu berusaha bagaimana hendak menghalang penjajahan baru di negara kita.

“Era kolonialisme (penjajahan secara langsung) telah berakhir dan boleh dikatakan semua ­negara di dunia telah mencapai kemerdekaan.

“Namun, kuasa besar mempunyai cara penjajahan era baharu yang tidak kurang kesan buruk dialami negara yang dijajah.

“Penjajahan itu tidak lagi dalam bentuk fizikal, tetapi pe­nguasaan dalam beberapa aspek lain,” katanya.

Jelasnya, penjajahan bentuk baharu ini lebih dikenali sebagai neo-kolonialisme yang dilakukan menerusi tipu daya, penyaluran pengaruh fikiran, budaya, ideologi dan sebagainya.

Akuinya, penjajahan kaedah tersebut banyak berlaku ­disebabkan kelemahan dalam negara yang berpunca daripada rakyat hilang jati diri dan semangat patriotisme.

“Penyaluran neo-kolonialisme dilakukan melalui media massa, hiburan, ideologi, imej perniagaan, individu yang dijadikan idola dalam sesuatu bidang dan ekonomi.

“Rakyat pula saling berpecah sesama sendiri. Budaya fitnah, iri hati, umpat dan dengki merebak dengan berleluasa,” katanya.

Ujarnya, generasi pasca merdeka khususnya remaja kini berdepan de­ngan berbagai gejala pincang krisis moral.

Ironinya, sebagai rakyat yang menjunjung semangat kemerdekaan dan patriotisme, kita perlu bersedia berkorban apa sahaja demi mempertahankan kemerdekaan negara.
Selamat Hari Kemerdekaan ke-66, Malaysia, tanah airku tercinta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI