fbpx

Kerajaan ambil langkah pencegahan elak jerebu rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Syarikat perladangan Malaysia selain anak-anak syarikat dan syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di Indonesia telah diberikan surat untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama insiden jerebu di rantau ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pada masa sama, pihaknya turut menjalankan usaha bersama Kementerian Luar Negeri melalui Pejabat Perwakilan di Indonesia bagi mencegah pembakaran terbuka tersebut.

“Kementerian dan jabatan terlibat turut mengambil beberapa langkah proaktif bagi mencegah jerebu rentas sempadan termasuk mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka.

“Selain itu, kami turut mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Standard Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri dan agensi-agensi negeri.

“Ia termasuk mempertingkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko dan mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Menurutnya, inisiatif itu turut melibatkan pemerkasaan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka selain mempertingkatkan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam sebagai tindakan pencegahan.

“MetMalaysia turut membangunkan Fire Danger Rating System (FDRS) bagi memantau kebakaran hutan dan tanah gambut. Sistem itu, telah diguna pakai oleh semua negara ASEAN sejak tahun 2003.

“Semua negara ASEAN terus diseru untuk menggunakan sistem terbabit bagi membolehkan langkah-langkah pencegahan serta persediaan rapi dilaksanakan bagi mencegah jerebu merentas sempadan.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI