fbpx

Buruh kontrak dipenjara lapan bulan ugut, cederakan ibu kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumaran dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan dan mencederakan ibu kandungnya kelmarin. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Seorang buruh kontrak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan dan mencederakan ibu kandungnya kelmarin.

Tertuduh, V. Kumaran, 48, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah secara lisan kepada ibu kandungnya, V. Yallama, 73, dengan cara mengacukan gunting ke leher wanita itu dengan niat hendak menyebabkan rasa cemas dan menyatakan, ‘saya akan bunuh mama, jika mama mati, saya pun akan mati hari ini’.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pesara Kelebang Jaya, Taman Kelebang Jaya, Chemor pada pukul 4 petang, 27 Ogos 2023.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga didakwa bagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita tersebut di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu, Siti Hajar dalam rayuannya memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan lelaki itu bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan harian RM60.

Katanya, tertuduh yang belum berkahwin itu juga amat menyayangi ibunya dan menjaga wanita itu seorang diri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI