LUKISAN karikatur sama ada dalam bentuk animasi di kaca televisyen, kartun editorial di akhbar-akhbar dan juga ilustrasi daripada komik merupakan medium penyampaian maklumat cukup berkesan yang telah digunakan sejak dahulu lagi.
Lukisan kartun misalnya, sama ada dengan dialog mahupun kartun ‘bisu’ iaitu kartun tanpa dialog miliki kuasa dalam menyampaikan sesuatu maklumat.
Justeru, peranan karikatur dalam lipatan sejarah dilihat begitu signifikan bagi memahami pemikiran dan kisah masyarakat silam.
Sempena sambutan hari kemerdekaan negara dan Hari Malaysia tidak lama lagi, satu pameran kartun bertemakan kemerdekaan negara kini dilangsungkan di pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Pameran bertajuk Seiring Sejalan yang diadakan dari 11 Ogos lalu sehingga 30 September depan itu bertempat di ruang pameran di aras dua pusat beli-belah tersebut.
Pengurus Projek Seiring Sejalan yang juga merupakan seorang kartunis, Mohd. Safwan Mohd. Arifin atau lebih dikenali sebagai Pauh berkata, pameran tersebut adalah kerjasama antara Arkib Negara Malaysia (Bahagian Arkib Negarawan) bersama pusat seni Rumah Kartun dan Komik Malaysia serta Fahrenheit88 selaku penaja lokasi.
“Pameran ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pameran daripada pengkarya-pengkarya seni seperti pelukis dan penulis komik, pameran keratan-keratan akhbar sebenar dari zaman sebelum kemerdekaan, bahagian yang menghimpunkan lukisan ilustrasi pelukis-pelukis tempatan dan juga himpunan karikatur watak-watak yang signifikan dengan Malaysia seperti karikatur Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj,” katanya kepada K2.
Jelas Pauh, kartun sememangnya sesuatu yang signifikan dalam tempoh sebelum, semasa dan selepas pembentukan Malaysia.
“Kartun menjadi sebahagian daripada medium penyebaran propaganda sewaktu pendudukan Jepun selama tiga tahun lapan bulan di Malaya dan ini menunjukkan bahawa kartun bukanlah berfungsi sebagai hiburan semata-mata.
“Malah, kartun ini juga bukan hanya terhad untuk tontonan kanak-kanak kerana kartun sebenarnya boleh dinikmati dan difahami sesiapa sahaja,” kata Pauh.

Tambahnya, peranan kartun juga cukup penting dalam menyampaikan mesej sama ada dalam bentuk jenaka mahupun mesej berat kerana kebolehannya menterjemah sesuatu karya itu sebagai maklumat.
“Kartun terbahagi kepada dua iaitu kartun dengan dialog dan juga kartun tanpa dialog yang juga dikenali sebagai kartun bisu.
“Kartun bisu ini lebih sukar untuk disampaikan dan sekiranya pembaca tidak memahami maksud kartun tersebut selepas lima saat, ia akan dianggap sebagai kartun yang gagal,” terang Pauh.
Selain menjadi tempat pengumpulan karya kartunis-kartunis legenda, Rumah Kartun dan Komilk Malaysia juga berperanan sebagai platform bagi kartunis berkarya dan menyampaikan mesej secara kreatif termasuk tentang isu semasa.
Bercerita lanjut, Pauh yang juga merupakan kurator Rumah Kartun dan Komik Malaysia berkata, pengunjung pameran Seiring Sejalan boleh melihat pameran lukisan, karikatur dan kartun yang dihasilkan oleh lebih 50 orang pengkarya di pameran tersebut.
“Terdapat lebih 200 karya meliputi kartun, karikatur dan ilustrasi yang dihasilkan oleh lebih 50 orang pengkarya tempatan,” katanya.
Malah, akuinya, pameran kali ini begitu menyeluruh dan kerana turut menghimpunkan keratan-keratan akhbar dan juga lukisan dari sudut pandangan penjajah satu ketika dahulu.
“Mungkin ramai yang tidak pernah melihat kartun editorial dalam keratan akhbar zaman komunis dahulu, yang ada menceritakan sudut pandangan penjajah terhadap penduduk Malaya.
“Di pameran ini, Arkib Negara turut himpunkan kartun-kartun yang satu ketika dahulu diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan, lengkap berserta tarikh terbitannya,” ujarnya sambil menambah kebanyakannya adalah dari tahun 1930-an iaitu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Pauh berharap pameran itu mampu menarik minat orang ramai dalam mempelajari serta mendalami sejarah pembentukan negara menerusi lukisan dan terjemahan dalam bentuk kartun.
“Kebiasaannya, pameran sebegini cukup diminati oleh pelancong dari luar.
“Mereka adakalanya mampu menghabiskan masa selama berjam-jam di ruang pameran untuk meneliti setiap satu kartun yang dipamerkan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang merasmikan pameran tersebut baru-baru ini berkata, setiap ruang pameran adalah alat komunikasi yang berkesan untuk membantu menyalurkan mesej tentang kepentingan perpaduan sosial.
“Ini adalah warisan kita yang dipamerkan melalui seni visual.
“Ia seharusnya membantu menyebarkan maklumat dan mesej positif kepada masyarakat dalam usaha membina identiti dan perpaduan nasional.
“Pameran ini juga bertujuan mempamerkan proses bagaimana negara kita dan Rukun Negara ditubuhkan supaya pengunjung dapat mengetahui sejarah di sebalik perpaduan kita,” katanya.
Selain pameran kartun, Seiring Sejalan turut mengadakan beberapa aktiviti menarik sepanjang tempoh pameran seperti bengkel asas lukisan kartun dan juga sesi Sembang Santai bersama kartunis berpengalaman.
Ruang pameran dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan masuk adalah percuma.














