fbpx

Waris Allahyarham Muhammad Hafiz terima pencen Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman (tiga dari kiri) menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada Muhammad Saleh Othman, 57.

SUNGAI PETANI – Waris penghantar makanan yang terkorban dalam nahas udara Elmina akan menerima dua pencen bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1,894.75 sebulan pada akhir September depan.

Jumlah bayaran pencen bulanan tersebut akan dibahagikan kepada tiga waris Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh yang layak iaitu bapanya, Muhammad Saleh Othman, 57, ibunya, Jamilah Ismail, 53 dan adik bongsu arwah yang masih belajar, Muhammad Hamidi, 20.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, selain pencen bulanan, waris Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh juga turut menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 sekali bayar.

Mohammed Azman berkata, bayaran pencen bulanan tersebut dibuat menerusi dua peruntukan mengikut akta perlindungan sosial berikutan Allahyarham Muhamad Hafiz  mempunyai dua caruman Perkeso sebelum ini.

Katanya, waris Allahyarham Muhamad Hafiz layak menerima Pencen Penakat sebanyak RM778.75 kerana arwah mempunyai caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerja ketika berkhidmat di syarikat logistik Akta 4 dengan caruman terakhir pada Jun 2021.

“Manakala caruman kedua pula adalah melalui Akta 789 sejak 10 Mei 2021 di bawah inisiatif kerajaan yang melayakkan waris arwah menerima pencen bulanan sebanyak RM1,116.

“Oleh itu jumlah keseluruhan bayaran pencen bulanan yang akan diterima oleh waris arwah adalah sebanyak RM1,894.75 sebulan,” katanya ketika ditemui media sewaktu menziarahi dan menyerahkan FPM berjumlah RM2,000 kepada waris Allahyarham Muhamad Hafiz.

Jelasnya, Pencen Penakat dibayar kepada waris yang layak apabila berlaku kematian sebarang sebab yang bukan berkaitan bencana kerja, manakala faedah orang tanggungan adalah kematian akibat bencana kerja.

“Caruman ini untuk menjaga kebajikan keluarga, kita perlu ambil iktibar daripada nahas pesawat terhempas baru-baru ini, saya harap mereka yang belum daftar, tampil untuk membuat daftar dan mencarum,” ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan rekod Perkeso, seramai 208,818 atau 29.8 peratus daripada 700,704 rakan penghantar makanan dan pengangkutan penumpang yang aktif, mencarum menerusi Akta 789 setakat 22 Ogos lalu.

Katanya, bagi tempoh antara Januari hingga Ogos 2023 pula, Perkeso telah meluluskan sebanyak 3,112 kes tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) membabitkan nilai keseluruhan mencecah RM16.98 juta, berbanding 4,383 kes dengan bayaran sebanyak RM14.3 juta sepanjang tahun lalu.

“Menerusi program SPS Padanan Caruman, kerajaan telah membiayai sebanyak 80 peratus daripada caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 berjumlah RM186.20.

“Manakala Orang Bekerja Sendiri (OBS) hanya perlu membayar baki 20 peratus atau RM46.60. Padanan pembiayaan ini melengkapkan bayaran Pelan Caruman 2 SKSPS yang berjumlah RM232.80 bagi memperoleh perlindungan keselamatan sosial pekerjaan sendiri selama 12 bulan,”katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI