AKTOR yang diberi julukan Hero Malaya itu masih terlihat gagah meskipun usianya kini telah mencecah 56 tahun.
Orangnya tetap kacak biarpun garis-garis kedutan mula menjalar menghiasi wajahnya.
Tua itu pasti, itulah hakikat bagi manusia. Pernah juga digelar ‘hero tua’, namun semua kata-kata sebegitu buat pemilik nama pentas Datuk Rosyam Nor, tidak sedikit pun menjadi kudis.
Dia sedar ruang dan sedar peluang, sudah berada pada kedudukan tersendiri hari ini.

Biarpun ramai pelakon muda lahir bagai bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Rosyam masih utuh, malah tetap menjadi dambaan produser dan pengarah untuk diletakkan sebagai ‘pemain’ karakter untuk naskhah televisyen mahupun layar lebar.
Buat Rosyam, selepas 39 tahun bergelar anak seni, bidang lakonan dilihat bukan lagi menjadi keutamaan. Kesibukannya kini terisi dengan rutin seorang usahawan.
Hanya sesekali, jika ingin melepaskan kerinduan dan gian beraksi didepan kamera, barulah Rosyam menyahut tawaran lakonan.
Masih ‘hero’
Selepas 15 tahun tidak muncul dalam mana-mana naskhah televisyen Rosyam gembira apabila drama lakonannya, Jack Yusof ‘meledak’ bukan sahaja di Malaysia, bahkan sehingga ke luar negara.
“Alhamdulillah selepas 15 tahun tidak muncul dalam mana-mana siri televisyen, drama lakonan saya, Jack Yusof siaran Astro Original mendapat tempat bukan sahaja di Malaysia, bahkan sehingga ke luar negara.
“Berdasarkan analisis oleh platform antarabangsa, Parrot Analytic, drama bersiri Jack Yusof menjadi sebuah siri yang mendapat sambutan di Australia dan New Zealand.
“Jadi saya bersyukur apabila drama lakonan saya juga mendapat tempat daripada penonton luar.
“Tapi sejujurnya, saya takut sebab lama tidak berlakon sebagai hero. Umur saya pula sudah lebih separuh abad. Tiba-tiba saya muncul sebagai pelakon utama untuk sebuah drama komedi,” katanya.
Berlakon vs bisnes
Ujar pelakon yang memulakan kerjaya seninya pada sekitar tahun 1986 itu lagi, dia bukan tidak mahu terlalu aktif dalam lakonan, namun kehidupannya kini terlalu sibuk dan perlu membahagikan masa antara dunia seni dan perniagaan.
Pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin itu mengakui penat untuk menguruskan dua pekerjaan dalam satu masa, namun bersyukur kerana masih memiliki kudrat untuk bekerja.
“Nak jaga bisnes dan berlakon, saya akui penat sebenarnya. Jadi sekarang saya hanya akan terima tawaran untuk lepaskan gian sahaja.

“Bagaimanapun, saya bersyukur pada usia 56 tahun, Allah SWT masih izinkan saya untuk bekerja. Saya masih lagi sihat, mampu berlari, melakukan babak aksi sendiri dan memandu.
“Saya tidak ada pengurus atau pembantu peribadi. Selama 39 tahun berada dalam industri, semua saya lakukannya sendiri,” jelas Rosyam.
Cucuk muka?
Ketika disoal tentang amalan yang dilakukannya untuk kekal cergas dan sihat, pelakon serba boleh itu berterus-terang tidak mengunjungi gimnasium untuk bersenam, cukup sekadar melakukan kerja-kerja harian sebagai ganti, selain menjaga pemakanan.
“Saya jaga pemakanan. Kalau boleh jangan makan malam. Saya tidak pergi gim. Saya bersenam dekat ladang saya dan cuci kereta sendiri.
“Aktiviti itu yang buatkan saya berpeluh. Saya tidak boleh ‘sekat’ usia menjadi makin lanjut.
“Tapi kalau saya boleh tampil segak pada usia sekarang (56 tahun), alhamdulillah,” katanya yang turut mengamalkan jus durian belanda buatannya sendiri untuk memperbaiki sel-sel dalam badan.
Menolak untuk melakukan sebarang bentuk rawatan seperti suntikan pada wajah, Rosyam tidak kisah apabila terlihat tua kerana tidak mahu menanggung risiko yang boleh berlaku.
“Biarlah saya kelihatan tua sebab saya memang tidak akan lakukan apa-apa rawatan cucuk sana, cucuk sini. Cuma saya mengaku ada tanam rambut sebanyak 9,158 helai.
“Saya tidak mahu cucuk muka sebab takut kalau berlakon nanti, muka tidak ada reaksi,” katanya yang kini sedang menilai tiga tawaran filem yang diberikan kepadanya.














