fbpx
SITI HARIESA

Tiada lagi babak ranjang selepas ini – Siti Hariesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMANYA pernah meledak sehingga menjadi sasaran caci maki. Semua itu gara-gara sebuah iklan acah atau teaser memaparkan babak intimnya bersama aktor Zul Ariffin tular dalam media sosial. Boleh dikatakan juga, itulah salam perkenalan Siti Hariesa kepada umum.

Lahir bersama kontroversi, introduksi hitam itu bagaimanapun tidak sesekali meruntuhkan semangatnya untuk terus mengemudikan layar kerjaya seni yang baru hendak bermula.

Berbulan-bulan menanti, akhirnya permintaan penulis untuk menjadikan pelakon meningkat naik, Siti Hariesa sebagai penghias muka depan sisipan Pose minggu ini tercapai.

Bukan mudah untuk ‘mengunci’ jadualnya yang padat dengan aktiviti penggambaran. Bak kata orang, ‘laku keras’.

Barangkali juga, permintaan tinggi tersebut turut dipengaruhi kontroversi yang tercetus sebelum ini.

Tidak menolak kebarangkalian tersebut, dia bagaimanapun tetap percaya bakat merupakan aset utama untuk terus kekal bertahan sebagai anak seni berbanding kontroversi.

MESKIPUN tidak mengakui serik, Hariesa awal-awal lagi menolak untuk kembali melakonkan babak ranjang seperti yang pernah tular dalam Perempuan Itu.

Matang

“Kontroversi drama Perempuan Itu banyak mendewasakan saya sebagai anak seni, khususnya pelakon.

“Banyak saya pelajari daripada perkara tersebut, salah satunya, jangan terlalu berani mengambil risiko yang boleh memakan diri,” katanya.

Melanjutkan bicara, dia mengakui awalnya agak terkejut sehingga tidak tahu cara untuk mengendalikan situasi saat disambar kontroversi.

Namun, atas nasihat orang sekeliling, mengunci mulut adalah pendekatan terbaik daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menaikkan lagi kemarahan ramai.

“Ketika itu agak ‘culture shock’ sebab kerjaya baru bermula kemudian terpalit kontroversi tetapi saya memilih untuk berdiam diri dan tidak membalas semua kecaman ramai.

Solekan: Elmanda Zuhairy (@elmandazuhairy) Tataria: Sabby (@sabby_ssan)

“Cara itu bagi saya yang terbaik ketika itu. Semakin melawan, semakin marak isu tersebut, jadi lebih baik diam sahaja.

“Sekarang, syukur semuanya telah berakhir, Perempuan Itu pun terima sambutan hangat. Saya bertuah terlibat dalam drama tersebut,” jelas bekas peserta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 itu.

Ditanya kesediaannya untuk melakonkan babak intim sebegitu lagi, jawab tidak! Dia enggan merisikokan rumah kerjaya yang baru dibina.

“Selepas ini akan lebih berhati-hati, dapatkan nasihat dan analisa impak risiko untuk sesuatu perkara.

“Selepas ini, tiada lagi babak sebegitu daripada seorang Siti Hariesa. Kalau boleh mahu elak kontroversi sebab masih terlalu baru, jauh lagi perjalanan saya,” katanya.

HARIESA bersyukur watak penyondol lakonannya dalam Perempuan Itu mendapat respons positif berbanding negatif.

Heroin, perbandingan

Meskipun masih hijau di lapangan seni tanah air, dia kini berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pelakon wanita tanah air lain apabila memegang watak utama untuk beberapa buah drama.

Ketika ini, lakonannya membawa peranan heroin menerusi drama Rajuk Karina sedang hangat ditayangkan malah tular dalam media sosial.

Dia juga bersyukur masih belum diterjang komen negatif orang ramai, sama soal mutu lakonan atau kesesuaian pemilihannya sebagai heroin.

“Alhamdulillah orang nampak bakat saya dan memang tak sangka juga banyak dapat tawaran sebagai heroin.

“Ini peluang untuk saya meneroka kemampuan dan mencari kekuatan dalam lakonan,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia juga sentiasa mempersiapkan mentalnya sekiranya kualiti lakonannya dibanding-bandingkan dengan pelakon wanita lain.

“Itu perkara normal dalam dunia seni ditambah pula saya masih baru dan orang akan sentiasa mencari kekurangan diri.

“Kalau hendak bandingkan pun, biar sahaja. Mungkin daripada situ saya boleh nilai kelemahan diri. Kadangkala benda negatif boleh jadi positif,” tuturnya yang meminati aktor, Bront Palarae.

DEMI terus menggali ilmu menjadi anak seni, Hariesa tidak menolak untuk menyertai mana-mana kelas lakonan selepas ini.

Tiada sasaran

Ketika ramai pelakon baharu memasang impian untuk berlakon bersama aktor atau aktres kegemaran mereka, lain pula pandangan Hariesa.

“Ya, siapa yang tidak mahu bergandingan dengan pelakon kegemaran tetapi saya lebih pentingkan keserasian.

“Kalau minat tetapi tak mampu cipta keserasian dan tidak mampu memberi sepenuh jiwa apabila bergandingan, tiada guna juga.

“Jadi, saya tak kisah digandingkan dengan siapa pun, asalkan ada keserasian,” jelasnya.

Hariesa bertegas tidak meletakkan sasaran anugerah dan perkara itu menjadi prinsip mula menjadi pelakon.

“Saya tak mahu menjadikan anugerah sebagai pengukur kejayaan. Kalau boleh biarlah dinilai dengan bakat, anugerah akan datang sendiri.

“Kalau terlalu mengejar anugerah, saya risau emosi dan semangat akan rapuh

LAKONAN adalah kecintaan, namun wanita tinggi lampai ini memasang impian untuk memiliki bisnes berkaitan produk kecantikan atau fesyen suatu hari nanti. – Foto oleh FARIZWAN HASBULLAH

sekiranya gagal,” ungkapnya sebelum mengakhiri perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN