fbpx

Orang Malaysia suka cerita seram, ‘content’ buru hantu digilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aktiviti paranormal atau ‘memburu hantu’ kini menjadi kegilaan orang ramai sehingga mendorong pencipta kandungan menjana pendapatan lumayan dengan ‘meneroka’ lokasi-lokasi seram di seluruh negara.

Pencipta kandungan mampu memperoleh pendapatan ribuan ringgit sebulan selepas bersiaran secara langsung di TikTok, Facebook dan YouTube.

Mereka akan membawa penonton untuk merasai sendiri pe­ngalaman berada di lokasi seperti bangunan lama yang terkenal dengan kisah-kisah mistik dan berinteraksi makhluk halus, jin dan hantu.

Seorang pempengaruh yang mahu dikenali sebagai Afiq, 33, berkata, dia mula melibatkan diri dalam aktiviti paranormal hanya untuk menguji keberaniannya pada tahun 2018.

“Pada mulanya, saya membuat siaran live di TikTok, tidak sangka mendapat permintaan tinggi daripada pengikut yang mahu ‘turut serta’ dan merasai pengalaman seolah-olah mereka berada di lokasi ‘pemburuan hantu’ yang saya sertai.

“Saya lakukannya seorang diri dengan hanya bertemankan telefon bimbit, lampu dan beberapa barangan lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Antara tempat-tempat yang pernah diterokai Afiq adalah lokasi pembunuhan kejam, tempat pemujaan, kubur, hutan dan lokasi kemalangan ngeri.

Antara aktiviti paranormal dilakukan Naufal (tiga dari kiri) di sebuah hospital lama di Johor. – Ihsan DarkTourismMalaysia

Jelas pemuda itu, selain mahu memberikan pengalaman kepada pengguna media sosial, dia turut menjadikan aktiviti memburu hantu tersebut sebagai sumber rezeki tetap.

“Orang Malaysia sukakan ce­rita-cerita yang berunsurkan seram. Jadi saya kongsikan video dengan mereka,” katanya.

Afiq memberitahu, videonya yang disiarkan menerusi TikTok @Along7888 pernah meraih jumlah tertinggi iaitu 17,000 tontonan ketika bersiaran langsung.

“Setakat ini saya tidak pernah melihat makhluk halus, namun penonton mendakwa mereka dapat melihatnya.

“Rasa meremang bulu roma dan berkabus antara petanda akan kewujudan ‘penunggu’ dan ia dibuktikan dengan alat Pengesan Medan Elektromagnetik (EMF) yang mengesan peruba­han gelombang elektromagnetik di lokasi tersebut.

“Saya tahu risiko yang terpaksa ditanggung apabila ‘bermain’ dengan makhluk halus, jadi saya buat persiapan termasuk mem­baca ayat suci sebelum meninjau satu-satu lokasi tersebut.

“Ada penonton yang terkena tempias, mereka ternampak se­suatu dan tidak boleh tidur malam akibat diganggu,” kata bekas penjawat awam itu.

Pengalaman sama turut dikongsikan pemilik TikTok @Darktourismmalaysia, Naufal, 30, yang memberitahu, ramai pengikutnya suka aktiviti paranormal kerana dapat merasai sendiri suasana seram dan kejadian aneh yang berlaku ketika siaran langsung.

“Ada segelintir pasukan paranormal yang sengaja menggunakan prop (peralatan) bagi menggambarkan kehadiran makhluk halus bagi menarik minat penonton selain bacaan tertentu untuk menarik kehadiran entiti tersebut.

“Sama seperti melihat filem, penonton mahukan benda sama seperti kejadian rasuk, suara mengilai, penampakan entiti dan gangguan. Untuk prop tiada ma­salah, tetapi saya tidak bersetuju dengan bacaan ayat tertentu.

“Sebagai pemburu hantu, saya faham mereka perlu mewujudkan suasana seram kerana ia adalah sumber pendapatan, biar penonton yang menilainya sendiri,” katanya yang meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan selepas ‘terjebak’ aktiviti tersebut.

“Pengalaman paling menakutkan adalah saya mendengar suara mengilai ketika berada dalam bilik mayat sebuah hospital terbiar di Johor. Sebelum masuk tiada angin atau ribut dan hujan, namun keadaan bertukar sebaliknya selepas itu.

“Disebabkan hujan, saya terpaksa berteduh dalam bilik itu dan melihat satu jari panjang berwarna putih dan pucat di sebalik telefon bimbit yang merakamkan keseluruhan ruang di dalam bilik mayat berkenaan.

“Dalam kejadian di hospital lama di Tampin, Negeri Sembilan, saya dengar suara wanita menangis teresak-esak. Ada orang pesan, jika dengar suara tangisan maka sedekahkan al-Fatihah. Lepas baca suara itu bertukar jadi ketawa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN