fbpx

Impian ditentang bapa, Carmelita bukti kemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASRAT Carmelita untuk bergelar usahawan fesyen pernah ditentang oleh arwah bapanya.

“SAYA sempat menulis surat aku janji kepada bapa bagi membuktikan bahawa suatu hari nanti saya akan berjaya sebelum dia meninggal dunia.”

Itu antara janji yang pernah dilafazkan dan tidak akan pernah dilupakan oleh Pengasas Carmelitaco Sdn. Bhd., Carmelita Mohd. Zain ketika membuka perniagaan berkaitan industri fesyen kira-kira tujuh tahun lalu.

Mengimbas kembali detik awal hasratnya untuk memulakan perniagaan, Carmelita memberitahu, perjalanannya tidak mudah kerana hasrat itu ditentang bapanya.

Namun, Carmelita yang ketika itu masih berkhidmat sebagai pegawai kaunseling di salah sebuah universiti terkemuka di negara ini tekad untuk merubah kehidupannya dan mencari kepuasan diri.

Meskipun kerjaya terdahulunya itu pernah menjadi minat dan impiannya, tetapi selepas berkhidmat sekian lama, Carmelita berasakan dia perlu berubah dan melakukan sesuatu.

Akuinya, dia sudah bosan menjalani kehidupan yang statik dan menghadap perkara sama setiap hari, sekali gus mahukan sesuatu lebih mencabar.

“Ada satu masa saya rasa hidup ini betul-betul macam roda.

“Hari-hari pergi balik kerja semata-mata untuk buat benda sama.

“Perkara itu (kerja) sudah berlaku selama 10 tahun dan saya langsung tidak mencapai kepuasan dalam kerjaya sebelum ini,” katanya memulakan bicara bersama Aura.

Meneruskan perkongsian, dia memaklumkan, setelah berfikir masak-masak, dia nekad mengejar minat untuk memiliki perniagaan sendiri.

Justeru, dia bertindak meletakkan jawatan sebagai pegawai kaunseling pada 2016.

CARMELITA

Menurutnya, tindakan itu diambil bagi membolehkannya melibatkan diri dalam industri fesyen yang diminatinya sejak kecil.

Bagi Carmelita, dia berasa ada sesuatu yang kurang dalam hidupnya jika tidak menuruti kehendak hati.

“Sebelum meletak jawatan, saya sebenarnya pernah beritahu bapa yang saya mahu buka bisnes dan berhenti kerja.

“Saya mohon restu bapa, tetapi masa itu dia tidak setuju dan marah saya.

“Tidak berputus asa, saya terus memujuknya supaya saya diberi peluang untuk mengejar impian.

“Salah satu perkara yang saya buat adalah menulis surat aku janji kepada bapa,” ujarnya.

Biarpun berjaya menyerahkan surat aku janji tersebut kepada bapanya, tetapi dia tidak berkesempatan membuktikan janjinya.

Ini kerana, bapanya meninggal dunia selepas itu.

Paling menyedihkan, pemergian bapanya itu berlaku pada tahun sama dia membuka perniagaan.

Situasi getir tersebut menjadi satu tamparan hebat buatnya pada ketika itu.

“Saya betul-betul down dan sedih. Tapi saya tahu, walaupun bapa sudah tiada, namun saya masih perlu berjuang demi mencapai impian saya,” tuturnya.

Namun selepas membuka perniagaan fesyennya, Carmelita sering kali berdepan dengan ujian.

Manakan tidak, dia bermula dari bawah tanpa ada apa-apa ilmu mahupun pengalaman dalam perniagaan.

“Banyak kesilapan yang saya lakukan, antaranya berkaitan aliran tunai, pemasaran, perancangan stok yang tidak bagus serta kesilapan lain berkait rapat dengan ilmu perniagaan.

“Sedar dengan kelemahan diri dalam menguruskan perniagaan, saya mula mencari ilmu dan mentor yang boleh membimbing agar kesalahan sama tidak diulangi,” katanya.

Ditebak berkenaan tip dan nasihat kepada bakal usahawan baharu dalam industri fesyen, Carmelita berkata, pelaburan terbesar bukanlah aset, tetapi pembelajaran.

“Fesyen bergerak pantas. Justeru untuk kekal relevan, kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI