fbpx

Gabungan PH-BN cara terbaik selamatkan negara – Anwar Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

ISKANDAR PUTERI – Gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menerusi Kerajaan Perpaduan adalah kaedah terbaik menyelamatkan Malaysia ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu kerana pihak pembangkang menarik sokongan rakyat menggunakan kaedah ektremis dengan memainkan isu kaum dan agama.

Menurut beliau, perkara itu tidak ubah seperti gerakan-gerakan fasisme yang banyak berlaku dalam suasana politik negara barat seperti Amerika Syarikat (AS).

“Walaupun tidak sama sepenuhnya, namun kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman, pertarungan ini lebih rumit daripada biasa kerana hasutan mereka membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian dan bukan sebaliknya menggunakan pertimbangan rasional.

“Perkara ini bukan asing di dunia khususnya di benua Eropah, kebangkitan neo nazi dan fasisme yang menyebabkan segerombolan kalangan muda membenci kaum minoriti, orang asing dan agama lain.

“Jadi jawapannya adalah dengan menggunakan landasan kebijaksanaan dan pertimbangan waras bagi memahami semangat Malaysia tulen. Jadi dengan aspek progresif PH serta pengalaman pentadbiran BN, gabungan ini adalah wadah terbaik selamatkan Malaysia sekarang,” katanya pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi PH memberitahu, pentadbirannya komited memastikan hak masyarakat Melayu dan Bumiputera sebagai golongan majoriti di negara ini kekal terjamin

“Tiada sesiapa boleh pertikai negara ini dan mereka terima kehadiran Melayu dan Bumiputera sebagai majoriti. Sebab itu bahasa, agama dan hak istimewa Melayu dalam kerajaan perpaduan jelas dan tidak akan dimungkiri.

“Jangan ada kekhuatiran dalam soal itu, kita terima pakai prinsip dalam perlembagaan dan tidak sama sekali meremehkan, merendahkan atau hina malah santuni dan anggap semua kaum dan agama di Malaysia sebagai satu pasukan keluarga untuk selamatkan Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI