fbpx

Mahkamah: Bicara ubah wang haram, cukai Rosmah diteruskan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor yang bermula hari ini tidak ditangguh dan diteruskan di Mahkamah Tinggi, di sini pagi ini.

Hakim K.Muniandy yang mendengar kes kedua Rosmah itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk kes itu ditangguhkan.

“Kes ini telah tertangguh sejak 2018. Hari ini tertuduh (Rosmah) juga telah hadir ke mahkamah jadi kes perbicaraan diteruskan,” kata hakim itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan tertuduh telah menghantar surat representasi baharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 Ogos lalu.

“Pihak pembelaan telah membangkitkan beberapa alasan baharu dan kami memerlukan lebih masa untuk mengesahkan maklumat dalam surat itu. Kami memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan siasatan kami supaya kami boleh mencapai keputusan yang menyeluruh,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam Rosmah Datuk Geethan Ram Vincent juga tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

“Kami bersetuju agar kes itu ditangguhkan hari ini. Bukti baharu yang dibangkitkan dalam surat representasi telah diberi kepada kes pendakwaan,” kata peguam itu.

Rosmah, 71, didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Untuk rekod, pada 1 September tahun lalu, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI