KEPETAHAN kanak-kanak lelaki itu menghuraikan fakta-fakta sejarah negara dan dunia membuatkan netizen terpegun mendengarnya.
Setiap huraian peristiwa-peristiwa penting diterjemahkan dengan ringkas dan padat dalam rakaman video TikTok berdurasi lebih kurang tiga minit.
Siapa sangka, kanak-kanak bernama Eka Hafeez yang fasih berbahasa Inggeris itu baru berusia 11 tahun.
Kini, rakaman video-video bersahaja menerusi akaun ibu saudaranya, Katijah Abd. Rahman, 36, itu menjadi viral sehingga mencecah jutaan tontonan.
Rata-rata netizen kagum dengan kebolehan anak sulung kepada empat beradik itu menjadikan subjek yang sering dianggap membosankan sebagai topik perbualan santai dan bersahaja.
Sehingga kini, video bertajuk ‘bebelan tak puas hati’ yang memaparkan Eka mempersoalkan tentang sukatan pelajaran pendidikan zaman ibunya mendapat jumlah tontonan tertinggi.
Video bebelan Eka yang mencuit hati netizen tersebut ditonton lebih 2.7 juta dan disukai lebih 153,900 orang.
Sementara itu, video bertajuk History of Malaya: Part 2 pula mendapat jumlah tontonan sebanyak 1.4 juta dan disukai oleh 67,700 orang.
Dalam video berkenaan, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Balakong di Seri Kembangan, Selangor itu berkongsi tentang pencerobohan Melaka lama dan seterusnya ke arah pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Menurut Eka, minat terhadap sejarah dipupuk oleh bapanya, Hafeez As’ad Azam, 41, yang gemar melemparkan soalan-soalan sejarah secara rawak kepadanya.
Soalan-soalan bapanya membuatkan semangat ingin tahu Eka memuncak dan mula mencari jawapan menerusi buku sekolah dan laman YouTube.
Antara topik kegemarannya adalah Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan sejarah Malaysia.
“Mula-mula saya tengok satu video berkenaan satu topik. Sebagai contoh, Perang Dunia Pertama.
“Kemudian, saya akan tengok video berkaitan dengan topik sama.
“Bila tengok banyak video, saya faham sejarah dengan lebih baik.
“Pada saya, kisah dalam sejarah macam sebuah buku cerita,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Tambah pelajar darjah lima itu, dia menggunakan bahasa Inggeris ketika bercakap tentang sejarah kerana video YouTube yang dirujuknya juga menggunakan bahasa tersebut.

Namun, tanggapan orang ramai yang mengandaikan dia cemerlang dalam subjek tersebut di sekolah adalah tidak benar sama sekali.
Ini kerana di sekolahnya, subjek Sejarah diajar dalam bahasa Cina.
“Dalam bahasa Cina, Pulau Pinang dipanggil Bin Cheng, Melaka dipanggil Ma Liu Jia, manakala Kuala Lumpur pula, Ji Long Po.
“Jadi, ada sedikit kesukaran untuk tukar bahasa dalam fikiran saya.
“Jadi tidak seperti yang orang ramai fikir, bukan senang untuk saya dapat A untuk subjek ini di sekolah,” katanya sambil tersenyum.
Biarpun meminati mata pelajaran Sejarah, namun pelajar yang turut menuntut di Sekolah Rendah Agama Al-Mukhlisin Alam Damai, Kuala Lumpur itu masih belum ada cita-cita ke arah bidang tersebut.
Ini kerana, dia juga meminati dunia kejuruteraan robotik setelah bermain permainan ‘Five Nights At Freddy’s’ dan menyertai kem robotik yang dianjurkan sekolahnya.
Selain belajar sejarah dan robotik, Eka juga aktif dalam bidang muzik dan mampu bermain piano serta seruling sambil melihat not muzik dengan baik.
Eka juga sering memenangi anugerah dalam pertandingan bercerita dalam bahasa Inggeris dan syarahan bahasa Melayu di peringkat sekolah pada tahun lalu.
Sementara itu, bapa Eka, Hafeez mengakui, enggan mengawal hala tuju anak sulungnya.
Sebaliknya, produser muzik tempatan itu akan sentiasa menyokong pilihan anaknya termasuklah sekiranya Eka mahu menjadi pembuat konten.
“Soal arah kariernya nanti, semua terpulang kepada Eka.
“Kalau dia nak jadi pembuat konten pun, saya sokong. Namun, dia perlu cukup matang untuk lakukan semuanya sendiri.
“Sekarang ini, dia bukan seorang pembuat konten atau pempengaruh. Eka hanya suka bercerita dan mak ciknya suka berkongsi video dia di TikTok,” jelasnya.
Kongsi ibu Eka, Nooraziyan Abd. Rahman, 39, keluarga mereka tidak menyangka rakaman video berkenaan dengan sejarah mampu mencapai ribuan tontonan dalam masa satu malam sahaja.
Video yang pada awalnya bertujuan untuk tatapan ahli keluarga yang tinggal di Tawau, Sabah itu kini menjadi sumber ilmu netizen.
Tambahnya, ramai bertanya di ruang komen dan direct message (DM) tentang rahsia membesarkan anak yang cerdas dan petah bercakap.
Tidak memiliki rahsia kursus, Nooraziyan mengakui, anaknya itu sememangnya memiliki perasaan ingin tahu yang tinggi sejak kecil lagi.
“Ada orang minta petua tentang cara melatih anak mereka bercakap.
“Tidak kurang yang bertanya kepada saya berkenaan pemakanan saya ketika mengandung sehingga menjadikan anak saya berpengetahuan luas,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas eksekutif akaun yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa itu mengakui, dia agak tegas dalam hal berkaitan pelajaran.
Namun, dia menggunakan cara interaktif bagi memastikan anak-anaknya tidak bosan dengan proses menuntut ilmu.
Berbanding hanya fokus pada buku akademik, Nooraziyan menggalakkan pembelajaran dalam setiap aktiviti harian mereka.
“Setiap kali pergi bercuti, kami akan bercerita tentang sejarah sesuatu kawasan itu dan Eka juga suka bercakap tentangnya.
“Apabila dia masuk darjah empat dan mula belajar Sejarah, minatnya terhadap subjek itu menjadi semakin membuak-buak.
“Dari situ, dia mula belajar sendiri dan banyak buat rujukan.
“Saya cuma suntik dan sokong keinginan itu,” tuturnya.














