fbpx

[VIDEO] 7 lelaki diberkas merusuh di luar Stadium Bandaraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh lelaki diberkas dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan membabitkan sekumpulan 'casual' Penang dan penyokong Kedah FC di luar pekarangan Stadium Bandaraya, malam tadi.

GEORGE TOWN – Polis menahan tujuh lelaki tempatan yang terlibat dalam kejadian rusuhan dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Kedah FC dan ‘casual’ Penang selepas tamat perlawanan Liga Super ke-20 di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.

Lelaki berusia antara 18 hingga 38 tahun itu ditahan pasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL), sejurus insiden berlaku kira-kira pukul 11.20 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati punca kejadian itu akibat provokasi antara kedua-dua penyokong ketika di luar stadium selepas menyaksikan perlawanan bola sepak.

Menurutnya, kesemua tangkapan tersebut masing-masing berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak.

“Selepas menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari IPD TL telah sampai ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

“Dua daripada tujuh suspek yang ditangkap juga mengalami kecederaan pada kepala dipercayai terkena balingan batu.

“Kesemua mereka didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal ke atas suspek didapati negatif daripada pengambilan sebarang jenis dadah,” katanya kepada pemberita di sini, sebentar tadi.

Selain itu, katanya, polis turut merampas dua ketul batu, dua kon jalan dan sebatang kayu dipercayai digunakan oleh kesemua suspek semasa kejadian.

“Dalam kejadian itu juga, cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong pasukan Kedah telah pecah akibat ditumbuk oleh salah seorang suspek.

“Kesemua suspek ditahan reman selama dua hari sehingga esok (24 Ogos) dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan ‘casual’ Penang yang berpakaian serba hitam termasuk berseluar pendek, stokin dan berkasut ‘sneakers’ dengan penyokong Kedah FC.

Insiden tersebut tular menerusi beberapa video yang dirakam orang awam di lokasi kejadian malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI