fbpx

Syarikat Roro, binaan didenda RM30,000 longgok sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETIGA-TIGA OKS diarahkan membayar denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Tindakan dua buah syarikat dan seorang individu melonggok sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran membawa padah apabila Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 terhadap setiap mereka.

Hakim Darmafikri Abu Adam, menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS) syarikat sewaan tong sampah pukal (Roro) Chong Teck Sin, Syarikat Y.J.T Constuction & Trading Sdn. Bhd. dan seorang individu, Fong Chia Fatt, 35, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan Syarikat Chong Teck Sin, Syarikat Y.J.T Constuction & Trading Sdn. Bhd. dan Chia Fatt masing-masing telah melonggokkan sisa pepejal terkawal di mukim Cheng, Bukit Katil dan Batu Berendam pada 22 Disember 2022, 5 Januari 2023 dan 20 Januari 2023.

Bagi kesalahan itu, kesemua OKS didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama.

Sabit kesalahan, OKS boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Abd. Hadi Abd Wahab memohon semua OKS dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan faktor kepentingan awam.

Kesemua OKS, termasuk Syarikat Y.J.T Constuction & Trading Sdn. Bhd. yang diwakili Peguam Norfazlinda Alimat dalam rayuan bagaimanapun memohon agar hukuman denda yang ringan diberikan atas alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan setiap OKS membayar denda berjumlah RM10,000. Kesemua OKS kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI