fbpx

Program Felo Perdana beri pendedahan aspek kepimpinan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) menyantuni salah seorang peserta pada Majlis Penyerahan Felo Perdana di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAPA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Program Felo Perdana mampu memberi pendedahan kepada anak muda melalui aspek kepimpinan dan budaya kerja dalam sektor kerajaan.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadi platform dalam memberi ruang kepada peserta memahami dan menimba pengetahuan berhubung pelaksanaan dasar-dasar yang dibangunkan kerajaan.

Katanya, peserta program itu dipilih khas dalam kalangan anak-anak yang mempunyai prestasi baik dan cemerlang untuk memperoleh manfaat terbaik sebagai persiapan pimpinan masa hadapan.

“Peserta program ini dapat mengenali bukan sahaja sosok pimpinan, tetapi lebih penting hala kerja tradisi dan budaya di kerajaan.

“Pendedahan itu memberi ruang lebih kepada mereka untuk memahami dasar-dasar (kerajaan). Saya percaya, mereka dapat menimba pengalaman dan pengetahuan. Itu sangat penting,” katanya ketika berucap semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Felo Perdana di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Pada edisi kali ini, seramai 56 orang peserta telah dipilih dan akan memulakan tugas bermula hari ini sehingga 31 Disember 2023.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan menerima dua orang Felo iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Ekonomi dan Perhubungan Antarabangsa, Sekolah Politik dan Sosial Eropah, Dayang Nur Syazwanie Abang Redzuan serta penuntut Ijazah Sarjana Ekonomi, Universiti Shiga, Muhamad Firdaus Ali.

Felo terpilih akan menerima elaun sebanyak RM2,000 seorang bagi graduan lepasan universiti, manakala RM1,000 bagi pelajar yang masih menuntut di universiti.

Kumpulan itu akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada Ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua orang bagi setiap menteri dan seorang bersama Ketua Setiausaha Negara.

Felo dipilih perlu melalui proses pemilihan yang teliti selain mengikuti sesi orientasi yang ditetapkan bagi tujuan pendedahan terutamanya melibatkan tatacara dan peraturan perlu dipatuhi pegawai yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Sejak diperkenalkan pada 2003, seramai 763 orang Felo telah terpilih untuk menyertai program berkenaan yang antara lain menetapkan objektif untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina keyakinan diri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI