fbpx

Kejohanan Dunia: Tze Yong iringi Zii Jia ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark selepas menewaskan pemain China, Zhao Jun Peng di pusingan pertama sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong mengikut jejak langkah Lee Zii Jia apabila memastikan tempat ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark.

Pada aksi pusingan pertama di Royal Arena sebentar tadi, pemain No.22 dunia itu menyingkirkan Zhao Jun Peng dari China menerusi kemenangan straight set 21-19, 26-24 dalam tempoh 48 minit.

Walaupun diberikan tentangan sengit di set kedua, namun Tze Yong tetap tenang dan mengekalkan fokus sebelum memastikan kemenangan bagi membawa cabaran Malaysia ke pusingan kedua.

“Saya tidak fikir gaya permainan kami ada persamaan kerana ini adalah kali pertama kami bertemu. Aksi di depan jaring sering bertukar tangan, jadi saya fikir adil untuk kedua-dua pemain.

“Agak gementar pada mata akhir kerana dia ada melakukan ‘challenge‘ dan saya hanya berharap bulu tangkis itu keluar. Jurulatih ada beritahu supaya jangan terlalu gementar dan hanya nikmati perlawanan,” katanya sejurus tamat permainan.

Untuk rekod, Tze Yong menamatkan saingan tahun lalu di pusingan kedua selepas akur tewas kepada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin menerusi aksi tiga set 9-21, 21-10, 19-21.

“Fokus saya sekarang adalah untuk terus pamer peningkatan dalam setiap perlawanan kerana tahun lalu saya tersingkir di pusingan kedua,” tambahnya.

Menjelang aksi pusingan kedua nanti, Tze Yong akan menantikan pemenang antara pemain Denmark, Anders Antonsen yang menentang Misha Zilberman dalam satu lagi aksi pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI