fbpx

Nahas Elmina: Sibuk mana jadi juruterbang, arwah rajin balik kampung – Bapa Mohamad Naim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Muaidi ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan di Kajang, hari ini.

KAJANG – Bapa kepada Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz menyifatkan anaknya seorang yang baik dan sentiasa ingat pada orang tuanya di kampung halaman meskipun mempunyai kerjaya sibuk sebagai juruterbang.

Mohamed Muaidi Idris, 71, berkata, kenangan terakhir beliau bersama anaknya ketika sambutan Hari Raya Aidiladha, Jun lalu, yang mana anaknya pulang ke kampung halaman di Taman Maju Rapat, Ipoh, Perak.

“Walaupun sibuk, dia cuba cari peluang untuk balik ke kampung meluangkan masa dengan kami.

“Naim selalu balik kampung apabila dia tidak bekerja. Dia selalu sibuk dengan kerja yang tidak menentu, tetapi dia kerap juga balik ke kampung kemudian belanja keluar makan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, hari ini.

Mohamad Naim adalah salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Ditanya mengenai bagaimana beliau mendapat khabar nahas tersebut, Mohamed Muaidi memaklumkan dia mengetahui berita terbabit daripada anak saudaranya yang juga juruterbang di Korea kira-kira pukul 3 petang, Khamis lalu.

“Apabila dapat tahu perkara itu, saya bergegas dari rumah di Taman Maju Rapat, Ipoh, Perak ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, namun dimaklumkan pihak lapangan terbang berkenaan bahawa tiada maklumat mengenai kejadian terbabit.

“Saya kemudian ke Balai Polis Kampung Rapat untuk mendapatkan maklumat sahih kejadian itu, namun tiada informasi yang boleh mengesahkan,” katanya.

Tambah Mohamed Muaidi, dia dan anak perempuannya kemudian bergegas ke Klang selepas Maghrib bagi mendapatkan pengesahan berita itu.

“Apabila polis di sana maklumkan kepada kami bahawa betul kejadian itu berlaku, kami terus bergerak ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses selanjutnya.

“Kemudian saya dimaklumkan Naim (Mohamad Naim) kemalangan, saya sudah menjangkakan insiden itu membabitkan pesawat memandangkan dia bekerja sebagai juruterbang,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan jenazah Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, 35, selamat dikebumikan sekitar pukul 2 petang di Tanah Perkuburan Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, hari ini

Mohamad Naim meninggalkan seorang isteri serta dua anak lelaki dan seorang anak perempuan berusia antara lapan hingga dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI