fbpx

Nahas Elmina: Jenazah Shaharul Amir diusung secara istiadat tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu Allahyarham Shaharul Amir, Che Ana Abdullah, 67, menyiram pusara anaknya di Taman Persemadian Islam Seri Manjung hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

LUMUT – Jenazah Komander (B) Shaharul Amir Omar, 49, salah seorang mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam selamat dikebumikan di Taman Persemadian Islam Seri Manjung, hari ini.

Jasad Allahyarham disemadikan pada pukul 3.30 petang di hadapan lebih 300 ahli keluarga, rakan taulan dan penduduk setempat.

Keranda Allahyarham yang dibaluti Ensign Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diusung oleh enam pegawai pasukan itu yang berpakaian istiadat dengan seorang pegawai berada di hadapan sebagai jurupandu.

Ensign TLDM itu kemudian diserahkan kepada adik Allahyarham, Russakinar Omar, 41, sebagai simbolik kepada penghargaan pengorbanan Allahyarham ketika berkhidmat dalam pasukan tersebut.

Sebaik selesai bacaan talkin oleh Pegawai Agama Pangkalan Lumut, Mejar Azlan Abdullah@Omar, empat anak Allahyarham berusia antara 19 hingga 12 tahun kemudian diberi penghormatan menyiruskan air mawar ke pusara Allahyarham.

Ibu Allahyarham, Che Ana Abdullah, 67, serta lima adik Allahyarham turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail; Panglima Pasukan Khas Laut (Paskal), Laksamana Pertama Datuk Mohd. Redzuan Talib serta Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah.

Hadir sama, dua bekas Panglima Armada Barat, Laksamana Madya (B) Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Datuk Mohd. Adib Abdul Samad.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba dari Klang ke Masjid Jamie Al-Ilhwan, Taman Desa Manjung Raya, kira-kira pukul 2.40 petang, untuk urusan solat jenazah.

Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI