fbpx
Mangsa nahas jet terhempas di Elmina, Shah Alam kelmarin.

Sistem elektronik, ekor, enjin pesawat mungkin punca nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerosakan sistem elektronik, bahagian enjin atau ekor boleh menyebabkan sesebuah pesawat hilang kawalan sebelum terjunam secara tiba-tiba dari udara.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera, Universiti Teknologi Malaysia, Ts. Dr. Haris Ahmad berkata, kerosakan yang berlaku itu boleh mengganggu kestabilan pesawat yang dalam penerbangan.

“Ketiga-tiga elemen ini boleh mengganggu kestabilan pesawat. Ia menjadi antara punca yang boleh menyebabkan sesebuah pesawat itu hilang kawalan dan terjunam secara tiba-tiba.

“Walau bagaimanapun apa yang berlaku dalam insiden pesawat terhempas semalam (di Shah Alam kelmarin) sangat pantas, maka sukar untuk sesiapa pun membuat andaian yang jelas,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang kelmarin, seramai 10 mangsa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang terkorban selepas pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada enam penumpang pesawat, juruterbang, pembantu juruterbang, pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Ketika kejadian, jet persendirian tersebut dalam perjalanan dari Langkawi dan sedang menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Jaya dekat sini.

Mengulas lanjut, Haris memberitahu, pesawat yang meng­alami kerosakan enjin atau elektronik biasanya akan ‘meluncur’ sebelum terhempas.

Beliau memberitahu, dalam tempoh mencemaskan itu, juruterbang biasanya mempunyai masa untuk berkomunikasi de­ngan menara kawalan.

Walau bagaimanapun dalam kejadian yang berlaku di Elmina kelmarin, Pusat Menara Kawalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah tidak menerima sebarang makluman daripada pesawat ber­kenaan sama ada menghadapi masalah sebelum ia terhempas atas jalan raya.

“Dua minit sebelum mendarat, tiba-tiba ia hilang dari radar dan tiada komunikasi dengan menara.

“Biasanya jika berlaku kerosakan pada enjin, juruterbang masih mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan menara kawalan. Namun, bagi kes ini (Beechcraft) ia jatuh terlalu drastik.

“Keadaan seperti itu boleh berlaku jika sistem ekor sesebuah pesawat tersebut rosak menyebabkan ia dalam keadaan menjunam. Juruterbang berusaha menstabilkan semula pesawat tidak sempat memaklumkan keadaan itu kepada menara kawalan,” katanya.

Jelas beliau, sesebuah pesawat yang hendak mendarat perlu mematuhi kelajuan yang ditetapkan bergantung kepada jenis, berat muatan dan panjang landasan.

Biasanya, bagi pesawat kecil, kelajuan yang dibenarkan untuk mendarat adalah 120 hingga 150 knot.

Sementara itu, Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) tersebut dipercayai berada pada ketinggian 457 hingga 762 meter sebelum terhempas kelmarin.

Menurutnya, jangkaan itu adalah berdasarkan situasi pesawat yang terhempas iaitu dua minit selepas dapat kebenaran mendarat.

“Biasanya kebenaran mendarat diberi tujuh hingga 10 kilometer dari landasan. Kejadian hilang kawalan tanpa sebab amat bahaya jika pesawat itu terbang rendah.

“Jika berlaku pada aras 6,096 meter, juruterbang masih mempunyai masa untuk memperbe­tulkan keadaan dan berhubung dengan menara kawalan.

“Dalam kejadian ini, pesawat altitude (ketinggian) rendah. Mayday, laungan kecemasan apabila ada isu yang melibatkan kecemasan serius pun tiada.

“Impak vertical itu jelas ke­rana pesawat berkecai dalam kawasan satu hingga dua ekar sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya semalam.

Nik Ahmad Huzlan membe­ritahu, banyak isu teknikal yang boleh menyebabkan kejadian itu berlaku antaranya hilang imba­ngan haluan disebabkan kerosakan satu enjin atau kerosakan pada alat kemudi kepak utama.

Jelas beliau, isu ‘windshear’ tipis sekali menjadi penyebab, tetapi kemungkinan berlaku ‘freak occurance’ tidak boleh dinafikan.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan faktor cuaca punca nahas tersebut berlaku kerana cuaca dilaporkan terang semasa kejadian selain udara stabil dan dasar penglihatan terang lebih 10 kilometer.

“Isu pesawat kehabisan mi­nyak juga tidak timbul. Ini boleh disahkan dari log di Langkawi. Letupan dan kebakaran setelah pesawat terhempas bermaksud pesawat tersebut mempunyai minyak yang mencukupi untuk mendarat,” katanya.

Beliau menjelaskan, nahas tersebut tidak sukar untuk disiasat kerana kawasan tragedi tidak luas iaitu 0.8 hingga 1.2 hektar selain ia mudah diakses.

Bagaimanapun, menurut beliau, tanpa alat perakam data pe­nerbangan (FDR) ia akan merumitkan penyiasat untuk mengenal pasti sebab kejadian berlaku dari sudut teknikal secara tepat.

“Difahamkan pesawat tersebut tidak dipasang (dilengkapi) dengan FDR, hanya perakam ­suara kokpit (CVR) yang me­rakamkan suara dan bunyi semasa di dalam penerbangan.

“Data pesawat seperti rajah penerbangan, haluan, kelajuan, ketinggian dan lain-lain semua tiada dengan tiadanya FDR,” kata beliau.

Tambah Nik Ahmad Huzlan, juruterbang dan pembantu juruterbang bersama enam penumpang dalam pesawat ringan itu adalah pengisian maksimum dalam jet tersebut.

“Isu berat muatan dan mustahak isu ‘weight and ba­lance’ yang menentukan imba­ngan pesawat selamat sebelum terbang pasti sudah dibuat,” katanya.

Beliau menjelaskan, isu pendaftaran jet luar negara bero­perasi di negara ini sudah lumrah dan digunakan oleh mereka yang berstatus orang kenamaan (VIP).

“Banyak pesawat jet peribadi bertapak di sini menggunakan nombor plat negara luar.

“Jika pesawat berdaftar di Amerika Syarikat, juruterbang harus ada lesen Pentadbiran Penerbangan Persekutuan. Tetapi ini pun mungkin ada amalan konsesi,” kata beliau.

Bekas pe­nyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd. Haniff memberi­tahu, banyak perkara yang boleh menyumbang kepada kejadian pesawat tersebut terhempas, namun beliau menolak faktor cuaca.

“Jika dilihat menerusi klip video yang tular dalam media sosial, (pesawat) seperti hilang kawalan.

“Saya tidak fikir ia cuba mendarat di atas jalan raya. Peti rakaman suara kokpit (CVR) dijum­pai.

“Pasukan penyiasat boleh dengar perbualan dalam pesawat dan bunyi enjin sewaktu nahas berlaku.

“Siasatan sudah pastinya akan merangkumi semua aspek termasuklah latar belakang juruterbang dan teknikal seperti penyelenggaraan, bagitu juga bahagian enjin pesawat,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN