fbpx

Malaysia buka kembali kedutaan di Iraq dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry (kanan) bercakap pada sidang akhbar di Pulau Pangkor hari ini.

LUMUT – Kerajaan akan membuka kembali Kedutaan Besar Malaysia di Iraq dalam masa terdekat selepas perincian berkaitan perkara tersebut dimuktamadkan antara Malaysia dan negara Timur Tengah berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, sehubungan itu, beliau bakal mengetuai delegasi Malaysia yang turut akan disertai oleh agensi-agensi dan syarikat berkepentingan seperti Petronas ke Iraq pada 23 Ogos ini.

“Ia bagi meninjau kedudukan terkini di Iraq dan juga potensi yang ada kerana seperti kita sedia maklum, pasca perang di Iraq telah pun bermula. Negara-negara luar (kini) ke sana untuk menubuhkan atau membuka kedutaan-kedutaan mereka.

“Maka ia menjadi tanggungjawab kita sebagai negara yang pernah mengadakan hubungan diplomatik dengan Iraq (untuk membuka kedutaan) dan kita dah pun dapat persetujuan Kabinet bagi saya mengetuai (delegasi ke Iraq),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Khidmat Bakti Bersama Komuniti Pulau Pangkor di sini.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Luar sedang meneliti cadangan bagi membuka semula Kedutaan Besar Malaysia di beberapa buah negara yang sebelum ini mengalami pergolakan.

Sehubungan itu, satu pasukan bagi meneliti aspek tersebut telah ditubuhkan bagi tujuan berkenaan.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq, rakan sejawatnya serta menteri-menteri lain di negara berkenaan bagi memperkukuhkan hubungan serta meninjau bentuk kerjasama yang boleh dibina.

“Kita harapkan agar hubungan anatara dua negara ini akan memberi impak positif khususnya dlm konteks pembangunan ekonomi dan juga pelaburan yang ada di sana.

“Seperti kita sedia maklum, Petronas mempunyai kepentingan besar di Iraq. Selain itu saya yakin ada bidang lain turut boleh diterokai kelak,” ujar beliau yang turut memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di negara tersebut telah ditutup lebih 20 tahun lalu.

Beliau juga memaklumkan, Iraq turut menyuarakan hasrat mereka dan meminta agar Malaysia segera membuka kembali kedutaannya pada sesi pertemuan antara kedua-dua negara di Azerbaijan pada bulan lalu.

Justeru, katanya, lawatan beliau ke Iraq kali ini bukan untuk mengadakan perbincangan bagi membuka kedutaan kerana keputusan berhubung perkara berkenaan telah pun diputuskan Kabinet.

Sebaliknya, Zambry berkata, kerajaan mahu meneliti perkara-perkara penting bagi tujuan tersebut seperti hal berkaitan logistik dan aspek keselamatan di negara berkenaan sebelum kedutaan Malaysia di Iraq dibuka kembali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI