fbpx
YATI tidak pernah menyangka kebahagiaan rumah tangganya akhirnya diragut oleh seorang lelaki. – GAMBAR HIASAN

Guru besar curangi bini dengan cikgu lelaki muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERPISAHAN bukanlah sesuatu perkara yang diingini dalam sesebuah perhubungan sesama manusia.

Pun begitu, sebagai seorang manusia, siapa kita untuk menolaknya? Kita hanya mampu merancang, selebihnya Tuhan menentukan.

Situasi tersebut antara apa yang dialami dan tidak akan dilupakan Yati (bukan nama sebenar) apabila rumah tangga yang dibina selama hampir 20 tahun karam begitu sahaja.

Berkesempatan menemu bual ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, dia yang juga merupakan guru tidak pernah menyangka mahligai yang dibina berakhir begitu sahaja.

Mengimbas semula kisah lama, Yati yang turut bernikah dengan seorang rakan sama sejawatannya bahagia menjalani kehidupan berumah tangga sejak sah bergelar suami isteri.

“Kami sebenarnya kenal di maktab yang sama tempat kami belajar. Jadi dari situ, kami mula berkenalan secara tidak sengaja dan rasa cinta itu wujud tanpa diundang.

“Akhirnya usai tamat pengajian serta dengan restu daripada keluarga, kami memutuskan untuk bernikah dan menjalani kehidupan bersama sekitar awal tahun 2000,” ujarnya membuka bicara.

Berkongsi lanjut, Yati mengakui, kebahagiaan rumah tangganya semakin bersemi selepas dikurniakan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.

Ujarnya, dia bersyukur kerana Tuhan menganugerahkan rezeki yang tidak pernah putus. Kebahagiaan bersama suami, anak-anak dan juga kerjaya.

Benar bak kata orang, kadangkala kita tidak mampu menjangka apa yang bakal berlaku pada kemudian hari.

Begitu juga dengan Yati yang tidak pernah menyangka kebahagiaan yang dibina selama ini sekelip mata direntap pergi.

“Entah bagaimana, suami yang selama ini tidak banyak perangai tiba-tiba berubah 360 darjah. Bukan saya sahaja yang perasan tetapi ketiga-tiga anak kami juga.

“Semuanya berubah selepas dia mengenali seorang guru muda lelaki yang baharu sahaja ditempatkan di sekolah tempat suami mengajar.

“Suami saya pula merupakan seorang guru besar. Jadi segala urusan guru-guru di bawah seliaan dan tanggungjawabnya,” katanya.

Tidak sekadar urusan di pejabat atau sekolah, suami juga pernah beberapa kali membawa guru baharu tersebut yang dianggap sebagai anak sendiri singgah ke rumah.

Ujar Yati, dia dan anak-anaknya juga sudah mengenali pemuda kelahiran Sarawak tersebut dan sering kali menjamu selera bersama.

“Suami pernah beritahu saya yang dia berkenan dan sukakan pemuda tersebut kerana sifatnya yang menghormati orang tua.

“Jadi, saya cuba menerima dia sebagai ahli keluarga baharu dan menganggapnya sebagai anak sendiri selain membiasakan diri membahasakan diri sebagai Umi kepadanya,” katanya.

Bertahun berlalu, semakin hari semakin berbeza dan janggal Yati rasakan tentang suaminya.

Akuinya, suaminya yang dikenali sebagai Cikgu Rahim (bukan nama sebenar) itu ada kalanya tidak pulang ke rumah dan tidak hadir ke sekolah sama seperti pemuda tersebut.

“Sejak dia (suami) kenal pemuda tersebut, dia jauh berbeza dan banyak berubah. Tanggungjawabnya sebagai suami juga sudah tidak diendahkan.

“Dia juga jarang berada di rumah dan adakala langsung tidak pulang ke rumah. Kalau kena pergi kursus, dia juga akan membawa pemuda tersebut bersama.

“Tidak setakat itu, saya dapat tahu, rumah sewa tempat pemuda itu tinggal juga dibayar sepenuhnya setiap bulan oleh suami. Boleh dikatakan dia seakan-akan kemaruk dengan pemuda tersebut sampai lupa anak bini,” tuturnya.

Selang beberapa bulan, Yati berkata, suaminya akhirnya telah bersemuka dengannya dan berterus terang apa yang sebenarnya berlaku selama ini.

“Suami beritahu, sejak dia bertemu pemuda itu, dia mula berubah serta jatuh hati dengan tutur kata dan sifat lelaki tersebut.

“Sejak itu juga, suami beritahu dia mula berubah dan langsung tidak ada perasaan dengan saya, namun tidak berani untuk meluahkannya.

“Suami juga mengakui pernah beberapa kali melakukan hubungan terlarang dan haram di sisi agama bersama lelaki yang dianggap sebagai ‘anaknya’ itu,” katanya.

Di akhir pertemuan, Yati memberitahu, suami meminta maaf dengan perbuatan yang dilakukannya dan nekad dengan keputusan untuk menceraikannya agar tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sudah pun kusut.

Akui Yati, dia tidak pernah menyangka rumah tangga dan kebahagiaan yang dianugerahkan selama ini berkecai begitu sahaja angkara orang ‘ketiga’ yang tidak pernah dijangka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN