fbpx
EYKA FARHANA

Artis baharu bukan ancaman – Eyka Farhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ORANGNYA genit, hakikatnya Eyka Farhana mempunyai semangat yang kuat saat berdepan cabaran menguji mental dan fizikal demi menjayakan filem seram pertamanya berjudul Anak Perjanjian Syaitan 2.

Entah dari mana mendapat kekuatan, Eyka Farhana mengakui tawaran sutradara Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk beraksi dalam filem Anak Perjanjian Syaitan 2 sukar untuk dilepaskan.

Mengakui diri seorang yang penakut biarpun sekadar sebuah cerita, aktres bertubuh kecil molek itu akhirnya menyahut cabaran membintangi naskhah genre thriller.

EYKA juga mengakui mempunyai ketakutan melampau apabila menaiki pesawat, namun perasaan itu berkurangan apabila dia fokus terhadap perkara lain sepanjang penerbangan.

Babak kubur

Menghampiri beberapa hari terakhir di lokasi penggambaran, Eyka bersyukur banyak adegan penting dapat disempurnakan dengan bantuan pelakon lain, kru serta pengarah.

“Memang saya tidak sekuat mana, kiranya agak penakut tetapi lepas baca skrip serta alur kisah buatkan saya teruja apatah lagi dapat berada satu layar dengan ramai pelakon hebat.

“Sudah 12 tahun berada dalam industri, boleh dikatakan ini watak utama dalam filem suspens seram yang pernah saya galas.

“Antara babak yang saya tak boleh lupa sepanjang berkampung di hutan dan berada di dalam kubur selama beberapa jam,” kongsinya.

Bercerita lanjut, biarpun bukan di kawasan perkuburan sebenar, selain lubang yang baru digali, situasi tersebut tetap menyuntik perasan berbeza.

“Ikutkan penggambaran lokasi awal berlangsung di Kemensah, Hulu Klang. Jadi perasaan menjalani penggambaran pada waktu malam agak berbeza.

“Untuk adegan kubur, saya memang kena masuk lubang berkenaan. Bunyi unggas serta kesunyian hutan selain aroma tanah baru digali menggandakan perasaan seram.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Dari hari pertama lagi saya ingat petua orang tua iaitu jaga mulut dan kelakuan di mana-mana kita berada,” katanya ketika ditemui HibGlam, baru-baru ini.

SETIAP kali usai penggambaran, Eya mengakui akan mengambil cuti dan berehat sekali gus kembali mengumpul tenaga untuk memulakan kerja seterusnya.

Terima banyak input

Eyka membawakan watak anak yatim piatu bernama Azlinda yang berdepan masalah kebimbangan melampau atau anxiety apabila sering terbayangkan perkara pelik.

Hakikatnya, dalam mencari jawapan dia berdepan pelbagai perkara menakutkan yang membongkar rahsia keluarganya.

Menurut anak jati Ampang itu lagi, bekerja dengan Ahmad Idham juga sesuatu yang dinantikan selain beberapa bintang lain termasuk Fasha Sandha, Azizah Mahzan dan Dian P. Ramlee.

“Banyak input kita dapat apabila bekerja dengan senior berpengalaman. Kali terakhir saya berlakon dengan Fasha adalah enam tahun lepas.

EYKA bersyukur kerana dikelilingi pelakon senior handalan termasuk Fasha Sandha dan Dian P. Ramlee semasa di lokasi penggambaran filem Anak Perjanjian Syaitan 2.

“Jadi peluang sebegini umpama bulan jatuh ke riba kerana ramai lagi bintang handalan dalam filem ini yang tak lokek kongsi ilmu,” tambahnya yang bakal menyempurnakan filem ini dalam tempoh beberapa hari lagi.

Menurut Eyka, seperti watak Azlinda, dia turut berdepan simptom anxiety terutama ketika dalam pesawat, namun perkara itu dapat diatasi secara perlahan.

“Walaupun takut sepanjang penerbangan terutama pada jarak jauh, saya dapat lalui situasi tersebut dengan fokus kepada perkara lain atau tidur.

“Mujur ketakutan ini tak menjejaskan pergerakan saya yang kadangkala perlu menaiki kapal terbang untuk bekerja di luar. Orang terdekat banyak membantu,” katanya.

ANAK Perjanjian Syaitan 2 memberi cabaran tersendiri yang membuatkan Eyka melakukan persediaan mental dan fizikal sebelum masuk set penggambaran.

Enggan tamak

Menyentuh mengenai perkembangan kerjaya, pemilik nama sebenar Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi itu terharu masih meraih kepercayaan penerbit dan pengarah tanah air.

Enggan tamak selain tidak melihat kehadiran bakat baharu sebagai ancaman, dia teruja kemunculan ramai bintang muda disifatkan sebagai bukti industri hiburan semakin rancak.

“Saya pernah berada di posisi mereka membuatkan saya yakin setiap pelakon punya peluang sama rata dan kena usaha untuk membuktikan kemampuan.

“Cuma dalam bekerja saya berbalik kepada kualiti. Hanya ambil satu tawaran pada satu masa dan kemudian ‘healing’ sebelum masuk ke set lain,” tambahnya.

Pelakon yang pernah tampil bersama single berjudul Laki-Laki itu turut berasakan pengalaman lebih sedekad perjalanan kerjaya menjadikan dirinya semakin berdepan gosip.

Katanya, suka atau tidak perkara terbabit adalah asam garam dunia seni, tetapi apa yang berbeza adalah cara mendepani situasi.

“Saya juga manusia biasa yang tak lari daripada kekhilafan. Mungkin dulu saya akan beremosi jika membaca gosip tidak betul, sekarang perkara seperti itu kita abaikan saja jika tidak betul.

“Apa pun kesihatan mental juga penting. Saya ambil pendekatan abaikan cerita mengarut selain jika tiada penggambaran atau kerja lain, duduk di rumah saja atau keluar dengan kawan rapat,” tutupnya.

EYKA mengakui lama menyimpan hasrat berlakon bawah bimbingan Ahmad Idham. – INSTAGRAM EYKA FARHANA
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN