fbpx

Nahas Elmina: Johari Harun komited kerja, sempat utarakan kelewatan projek perumahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy ketika ditemui pemberita di HTAR. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KLANG – Allahyarham Datuk Seri Johari Harun disifatkan seorang yang komited dalam kerja terutama dalam mengutarakan pemasalahan berkaitan portfolionya berkaitan Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada mesyuarat Exco Pahang diadakan di Langkawi didapati Allahyarham sempat menyentuh ada kelewatan projek berkaitan perumahan.

Katanya, tiada perubahan ketara pada Johari kecuali sangat aktif dalam mesyuarat tersebut.

“Semalam (kelmarin) baru mesyuarat Exco dengan beliau dan amat aktif. Selalunya beliau bercakap juga namun tidak sebanyak semalam dan ketika itu saya tidak perasaan (perubahan ketaranya).

“Beliau (Johari) juga menyentuh mengenai kelewatan projek berkaitan perumahan pada mesyuarat tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan unit forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) malam tadi.

Jelas Wan Rosdy, Allahyarham Johari bergegas pulang dari Langkawi, Kedah kerana ada urusan lain yang perlu diuruskan beliau sebelum mendapat tahu mengenai nahas itu.

Ujarnya, beliau sempat bersarapan pagi dan makan tengah hari bersama Allahyarham sepanjang sesi mesyuarat tersebut.

“Sudah tentu sangat sedih kerana setiap minggu selalu mesyuarat dengan beliau yang merupakan ahli Exco sangat rajin, progresif, dinamik dan sentiasa bawa apa pemasalahan dalam portfolio beliau.

“Sangat mengejutkan dan di luar dugaan selain saya berasa sangat sedih, terharu serta merasakan kehilangan seorang sahabat dan sejawat (dalam kerajaan negeri Pahang),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri akan menanggung segala keperluan termasuk kos pengebumian melibatkan semua penumpang dan kru pesawat tersebut. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI