fbpx
TIDAK mempunyai latar belakang seni, sebaliknya jurusan komunikasi, Afidatul Aisyah kini boleh tersenyum puas dengan kejayaannya sekali gus membidas pandangan skeptikal terhadap kemampuannya sebelum ini.

Bermula dari ‘sifar’, Afidatul Aisyah buktikan berjaya terajui galeri seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI satu sudut dalam galeri Segaris Art Center di Publika, Kuala Lumpur kelihatan seorang wanita yang berpakaian serba hitam sedang melihat hasil karya seni pada bahagian dinding pameran.

Dalam masa yang sama, wanita itu. Afidatul Aisyah Ahmad, 34, berbincang dengan salah seorang pelukis mengenai karya tersebut.

Afidatul Aisyah menjadi individu penting kerana dia yang juga Pengurus Besar Segaris Art Center bertanggungjawab untuk membawakan dan menjayakan setiap pameran seni di galeri tersebut.

Segaris Art Center merupakan antara galeri seni terkenal dalam kalangan pelukis di negara ini. Ramai pelukis berpengalaman dan baharu membuat pameran di situ.

Segaris Art Center yang merupakan galeri seni di bawah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings mempamerkan karya seni moden dan kontemporari. Kliennya juga nama besar seperti Khazanah Nasional.

Menarik untuk diperkatakan, Afidatul Aisyah bukanlah berlatar belakang seni, sebaliknya dia graduan dalam bidang komunikasi.

Berbicara tentang penglibatannya dalam industri seni, Afidatul Aisyah berkata, dia mula terlibat secara serius pada Mac 2022.

Menurutnya, sebelum ini dia terlibat dalam industri fast-moving consumer goods (FMCG) yang lebih kepada aspek pembangunan perniagaan dan pembangunan produk. Dia juga pernah bekerja dengan jenama kosmetik tempatan terkenal, SimplySiti.

“Saya kemudian mendapat tawaran daripada (UiTM) Holdings untuk menerajui Segaris Art Center setelah pernah berkolaborasi dengan badan tersebut sewaktu saya bersama SimplySiti. Pihak UiTM Holdings melihat cara serta kualiti kerja saya dan mereka memberi tawaran itu.

“Pada ketika itu, galeri ini tiada pengurusan selama enam bulan dan saya mengambil inisiatif untuk mengambil tanggungjawab ini apabila mendapat tawaran tersebut kerana saya juga seorang yang suka dengan karya seni,” kata wanita itu yang juga merupakan graduan UiTM kepada Aura.

Pengalamannya dalam pembangunan produk sebelum ini diterapkan pada pembangunan sebuah galeri.

Afidatul Aisyah mengakui berdepan pelbagai cabaran untuk menerajui galeri itu memandangkan tidak mempunyai pengalaman dalam industri seni.

Malah, ada orang yang mempersoal kredibilitinya menerajui galeri seni itu.

“Pada mulanya ada yang skeptikal terhadap saya menerajui galeri ini kerana saya bukan berasal daripada industri seni. Saya menganggap itu sebagai satu cabaran dan bagaimana cara saya untuk mengendalikannya adalah dengan membuktikan bahawa saya boleh menaikkan nama Segaris Art Center dan juga artis-artis seni serta memartabatkan lagi industri seni tanah air,” jelasnya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu menjelaskan, apa yang dia lakukan sebaik saja dipertanggungjawab untuk mengurus galeri tersebut adalah dengan belajar sepantas mungkin bagi mengadakan pameran seni.

Pameran seni penting buat sesuatu galeri untuk menjana pendapatan dan jika dia mengambil masa terlalu lama untuk belajar ini akan merugikan.

Kerana itu, dia mengambil inisiatif untuk belajar dengan mereka yang lebih berpengalaman iaitu artis seni dan juga pensyarah dalam bidang seni itu sendiri.

Dia perlu belajar bagaimana cara untuk mengenal pasti artis yang boleh diundang untuk melakukan pemeran.

Selain itu, dia juga perlu belajar untuk mengetahui akan kualiti, harga karya seni dan lain-lain lagi sebelum mengadakan pameran seni.

“Alhamdulillah saya tidak mengambil masa yang lama untuk mendalami semua ini dan lima bulan setelah menerajui Segaris Art Center saya telah berjaya menganjurkan pameran seni yang pertama di bawah pengurusan saya.

“Pameran pertama yang saya jayakan ialah pameran solo yang dinamakan sebagai Interlude oleh artis seni Loqman Zainal dan untuk pameran tersebut, 90 peratus karyanya habis terjual,” terangnya.

Kini, setelah lebih setahun menerajui galeri seni itu dia telah menjayakan banyak pameran yang melibatkan artis berpengalaman dan juga artis muda berbakat.

AFIDATUL AISYAH (berdiri) selaku Pengurus Besar Segaris Art Center komited dalam usahanya membangunkan galeri seni buat para pelukis sekali gus memartabatkan industri seni di negara ini.

Afidatul Aisyah menjelaskan, sebelum ini perancangannya adalah untuk mengadakan satu pameran seni setiap bulan. Namun, dia berjaya anjurkan lebih daripada itu di mana untuk tahun 2023 setakat ini dia telah mengadakan 14 pameran seni.

“Kesemua pameran seni yang diadakan sebelum ini mendapat sambutan yang amat baik dan kebanyakan karya artis seni terjual.

“Malah, ketika bulan Ramadan lalu kita juga telah mengadakan satu pameran seni yang melibatkan gabungan artis berpengalaman dan hasil jualan karya seni pada pameran ini mencecah RM500,000,” jelasnya.

Afidatul Aisyah berkata, siri kejayaan pameran seni yang dianjurkan telah membolehkannya terus mendekati artis-artis seni berpengalaman.

Kongsinya, sebelum ini antara cabaran besar dihadapinya adalah untuk mendekati artis berpengalaman untuk menjayakan pameran di galeri yang diuruskan olehnya.

“Ini disebabkan saya bukan berasal dari industri seni itu sendiri dan saya serta mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Jadi, pada awalnya, penerimaan agak susah dan saya mengambil masa untuk berkenalan dan memberitahu apa tujuan serta niat saya.

“Tetapi setelah beberapa siri pemeran berjaya saya mula mendapat momentum yang lebih baik untuk mendekati mereka,” ulasnya.

Sementara itu, jelasnya, Segaris Art Center bukan hanya menganjurkan pameran seni yang melibatkan artis seni berpengalaman semata-mata.Sebaliknya mereka juga memberi ruang dan peluang buat artis seni muda.

“Objektif penubuhan Segaris Art Center adalah untuk menjadi platform pelajar-pelajar bidang seni UiTM mencipta nama. Galeri ini jadi landasan pertama untuk mereka mengadakan pameran seni dan sehingga kini objektif ini masih diteruskan,” terangnya.

Dalam pada itu, Afidatul Aisyah juga mempunyai hasrat untuk mengubah stigma masyarakat yang mengatakan semua karya seni ini mahal dan tidak mampu dimiliki oleh semua orang.

“Sebenarnya ada karya seni ini yang ditawarkan pada harga yang masih mampu milik dan ditawarkan pada harga ratusan ringgit sahaja.

“Saya rasa hal ini perlu dihebahkan lagi kepada masyarakat sekali gus dapat memberi sokongan kepada artis seni untuk terus berkarya apabila karya-karya mereka terjual,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN