fbpx

K2

Status komisen interior design berkait binaan haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBOLEHNYA mengelak daripada terlibat dalam pembinaan rumah atau bangunan berkaitan tempat ibadat bukan Islam. – Gambar hiasan

Saya bekerja sebagai interior designer. Adakalanya saya perlu design untuk klien bukan Islam. Bahagian yang terlibat kadang termasuk altar (tmpt sembahyang), wine rack, bar table dan lain-lain. Setiap projek yang saya complete, akan dapat komisen. Apa hukum jika saya gunakan wang komisen dari design-design yang saya buat tu? Terima kasih.

JAWAPAN: Dalam isu ini  terdapat dua pandangan ulama:

Pandangan yang mengharuskan; Sebahagian ulama mazhab Hanafi mengharuskan kaum Muslimin terlibat dalam membina dan bekerja di gereja.

Ibn ‘Abidin menyebut akan keharusan seorang Muslim bekerja di gereja dan terlibat dalam proses pembinaan, kerana pekerjaan itu sendiri bukanlah satu maksiat. (Rujuk; Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 6/391)

Ibn Nujaim pula menyatakan keharusan orang Islam menerima upah membina gereja dan upah itu halal baginya. (Rujuk; Al-Bahr ar-Ra’iq Syarh Kanz ad-Daqa’iq, 8/23)

Pandangan yang mengharamkan;

Majoriti ulama mazhab Maliki dan Shāfi’ī menyatakan pengharaman keterlibatan orang Islam dalam pembinaan gereja.

Imam Malik Muhammad Hattab menyatakan bahawa seorang Muslim tidak boleh terlibat dalam pembinaan gereja, penternakan babi atau kilang arak, dan dihukum bagi Muslim yang terlibat dengan hal yang demikian. (Lihat; Mawahib al-Jalil Sharh Mukhtasar al-Khalil, 5/424)

Diriwayatkan bahawa Imam Malik mengharamkan bekerja dalam pembinaan gereja, kerana ia termasuk dalam perkara yang diharamkan Allah SWT. Pengharaman ini juga kata Imam Malik termasuk menyewakan dan menjual rumah atau bangunan untuk dijadikan gereja. (Lihat; Al-Mudawwanah al-Kubra, 3/435)

Diriwayatkan bahawa Al-Imam al-Shāfi’ī berkata bahawa beliau membenci seorang Muslim yang bekerja sebagai tukang bina gereja atau pekerjaan yang berkaitan dengan rumah ibadat orang-orang kafir. (Lihat; Al-Umm, 4/213).

Syeikh Qalyubi pula menyatakan pengharaman terlibat dengan membina gereja seperti menyumbang harta bagi tujuan tersebut, kecuali dalam hal-hal darurat. Urusan pembinaan gereja ini disamakan dengan pengajian kitab Taurat dan Injil serta melukis gambar-gambar haiwan yang dilarang penglibatan padanya. (Rujuk; Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Sharh al-Mahalli ‘ala al-Minhaj, 3/71)

Pun begitu, Syeikh Dr. Yusof al-Qaraḍāwī telah berfatwa akan keharusan kaum Muslimin untuk terlibat dalam pembinaan gereja. Beliau telah ditanya tentang hukum bagi kaum Muslimin yang terlibat dalam proses bidaan / menerima tender pembinaan rumah ibadat non-Muslim dan hukum mengambil manfaat dari keuntungan projek tersebut.

Setelah mengemukakan pandangan-pandangan para ulama (sebahagiannya telah dinukilkan di atas), beliau mentarjihkan pandangan sebahagian ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan keterlibatan Muslim dalam pembinaan gereja dan rumah ibadat lain, walaupun beliau turut memperingatkan bahawa terdapat ramai ulama yang mengharamkan hal yang demikian berbanding yang mengharuskannya.[1]

Menurut beliau, ulama yang mengharamkan keterlibatan Muslim dalam proses pembinaan gereja berdalilkan ayat al-Qur’an:

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.(Surah al-Ma’idah: 2)

Menurut tafsiran, terlibat dalam pembinaan gereja bererti membantu perlakuan kufur dan mengagungkan syiar-syiar batil yang mereka lakukan. Ia juga satu akad yang melibatkan manfaat yang diharamkan (manfa’ah muharramah) yang wajib dijauhi dan dihapuskan.

Kesimpulannya, berbalik kepada persoalan yang diajukan, setelah meneliti pandangan para ulama dan dalil-dalil yang dikemukakan, kami menerima pendapat yang mengharamkan keterlibatan orang Islam dalam proses pembinaan gereja atau rumah ibadat agama lain, sebagaimana yang dipegang oleh majoriti ulama.

Hal ini berdasarkan kaedah yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:

Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan. Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,

Barang siapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk samada untuk jangka masa pendek mahupun panjang.  Kami juga berpesan agar kita sama-sama mengingati pesan Nabi SAW yang menitik beratkan untuk mencari rezeki yang halal:

Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya.Sunan Abi Daud (3329)

Walau bagaimanapun, Islam sebagai agama yang fleksibel dan meraikan keperluan-keperluan manusia ada memberikan beberapa pengecualian dalam situasi-situasi tertentu. Sebagai contoh, jika seseorang itu telah memenangi sebuah tender untuk projek pembinaan atau baik pulih rumah ibadat agama lain, wajib ke atasnya menolak tender tersebut. Namun jika terpaksa membayar denda atau pampasan atas perbuatan tersebut, dan bayaran tersebut mahal dan membebankan, pada masa itu dia boleh bertaqlid kepada mazhab Hanafi dan Syeikh Yusuf al-Qaraḍāwī yang mengharuskannya, atas dasar maṣlaḥah.

Jika sekiranya pekerjaan seseorang itu terlibat dalam pembinaan rumah atau bangunan termasuklah juga membuat reka bentuk dalaman yang melibatkan tempat ibadat bukan Islam, maka hendaklah berusaha untuk tidak terlibat dengan kerja-kerja seumpama itu. Namun jika tidak mampu, dan dibimbangi akan menyebabkan jatuh miskin, maka dia juga boleh bertaqlid kepada mazhab yang mengharuskannya, atas dasar darurat. Akan tetapi menghindarkan perkara ini adalah lebih utama dan lebih hampir kepada sifat takwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN