fbpx

Perut remaja tembus tertusuk buluh dua meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa apabila sebatang buluh tertusuk pada bahagian perut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah trak pikap di Jambatan Pulau Setelu, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Seorang remaja terpaksa menahan kesakitan selepas perutnya tembus akibat tertusuk buluh dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Gua Musang-Jeli di Jambatan Pulau Setelu di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, Mohammad Ammar Hazriq Zuhan, 13, mengalami kecederaan selepas objek berukuran dua meter menembusi bahagian perut remaja berkenaan.

Kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa merempuh belakang sebuah trak pikap yang diletakkan di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu untuk memancing.

Setibanya di lokasi kejadian, mangsa melanggar sebuah trak pikap jenis Nissan Frontier yang membawa muatan buluh yang diletakkan di tepi jalan atas Jambatan Pulau Setelu.

Kenderaan membawa buluh yang dirempuh mangsa.

“Keadaan itu menyebabkan sebatang buluh berukuran dua meter tertusuk menembusi perut remaja tersebut.

“Remaja itu dibawa orang awam ke Hospital Gua Musang di sini untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Choon Foo menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja-kerja di laluan jalan raya dengan memberi isyarat secukupnya kepada pengguna yang lain.

Siasatan lanjut mengenainya dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI