HANYA berbaki seminggu lagi sebelum Kejohanan Badminton Dunia yang dijadualkan berlangsung di Copenhagen, Denmark bermula 21 hingga 27 Ogos ini membuka tirainya secara rasmi.
Bagaimanapun, setakat beberapa kejohanan yang berlangsung sebelum ini, masih belum ada sebarang petanda pemain-pemain negara mampu untuk mencabar kejuaraan pada edisi kali ini termasuk juara bertahan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Gandingan yang berada pada kedudukan keempat dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu boleh dianggap antara pemain Malaysia yang konsisten musim ini apabila dua kali muncul naib juara pada Siri Jelajah Dunia BWF.
Prestasi Aaron-Wooi Yik dalam tiga kejohanan terdahulu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya sama ada mereka sudah bersedia sepenuhnya ataupun tidak apabila gagal melepasi pusingan suku akhir pada Terbuka Korea, Jepun dan Australia.
Walaupun prestasi semasa mereka agak merisaukan, namun penulis percaya, Aaron-Wooi Yik serta barisan kejurulatihan, terutamanya Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sudah ada percaturan tersendiri.
Beregu yang mula digandingkan pada 2017 itu dilabelkan terlalu ‘memilih’ kejohanan untuk benar-benar meletup, sama seperti yang dilakukan Ogos tahun lalu ketika muncul juara dunia di Tokyo, Jepun.
Ketika itu, mereka terkandas tiga kali berturut-turut di separuh akhir, selain memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 sebelum mencipta sensasi meraih gelaran di Kejohanan Dunia.
Justeru, Rexy berharap anak-anak buahnya itu kembali mendapatkan keyakinan dan menampilkan kemampuan sebenar apabila bakal memulakan cabaran Kejohanan Dunia di pusingan kedua selepas mendapat bye di pusingan pertama.
“Saya sebagai jurulatih harap pemain berkongsi rasa dengan kita. Tiga kejohanan sebelum ini memang tidak bagus jika dibandingkan dengan kedudukan mereka sebagai beregu No.4 dunia.
“Dari segi kemampuan teknikal, tidak perlu banyak perubahan. Bagi saya, kita perlu perbaiki fokus mereka serta kemahuan diri. Tiga kekalahan sebelum ini adalah disebabkan faktor fokus dan tanggungjawab,” katanya.
Berdasarkan pandangan yang dilontarkan Rexy, penulis bersetuju Aaron-Wooi Yik hanya perlu meningkatkan fokus di dalam gelanggang, memandangkan tumpuan mereka sering terganggu, terutamanya ketika mata-mata penting.
Meskipun mendapat bye di pusingan pertama, namun Aaron-Wooi Yik tidak boleh terlalu selesa, memandangkan mereka dijangka bertemu juara Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di pusingan ketiga.
Sekiranya mereka mampu memperbaiki setiap kelemahan, tidak mustahil Aaron-Wooi Yik dapat mengulangi pencapaian tahun lalu, sekali gus mempertahankan gelaran dunia tersebut.
“Saya fikir ia akan menjadi satu perlawanan besar (bertemu Lee Yang-Chi Lin). Kami hanya akan buat persiapan terbaik. Saya dan Aaron akan cuba untuk bina tahap keyakinan kami dalam setiap perlawanan.
“Kami perlu bekerjasama kerana ini adalah kejohanan paling besar tahun ini. Kami mahu pamerkan prestasi terbaik dan sudah tentu harapan kami adalah untuk mempertahankan kejuaraan,” ujar Wooi Yik.
Kita perlu terus memberikan sokongan penuh kepada pemain-pemain negara untuk berjaya.














