fbpx
Foto imej ramen Godzilla dari sebuah restoran di Taiwan yang memaparkan kaki buaya terjulur di mangkuk tular ke seluruh dunia.

Imej seram mi kaki buaya dari Taiwan ‘hantui’ dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELAS kelihatan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an sedang asyik menghirup sup panas di dalam sebuah mangkuk sederhana besar di hadapannya.

Sesekali peluh pada dahi dan wajahnya disapu dengan tisu supaya tidak jatuh menitis ke dalam mangkup supnya.

Hirupan demi hirupan diselangi wap panas dari mangkuk tersebut yang naik ke atas menambah lagi nikmat menjamu selera sup mengandungi mi ramen beramuan luar biasa di sebuah restoran di Taiwan itu.

Di satu sudut, pintu masuk restoran mewah itu juga, kelihatan sekumpulan manusia asyik merakam gambar hidangan itu menggunakan telefon pintar dan kamera masing-masing.

Tidak kurang juga yang sedang beratur dan duduk di meja menantikan pesanan disiapkan. Rata-rata pengunjung datang ke restoran tersebut dengan hanya satu tujuan.

Tujuannya adalah untuk mencuba sendiri mi ramen kaki buaya yang menjadi fenomena dan trend dalam kalangan masyarakat di Taiwan selepas diperkenalkan di restoran itu.

Ya, kedengaran agak pelik tetapi itulah yang menjadikan restoran di Yunlin, Taiwan itu semakin popular dan tidak putus-putus dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menu terbaharu yang diberi nama ‘ramen Godzilla’ itu menjadi hidangan eksotik dan paling unik pernah dijual. Godzilla adalah merujuk watak fiksyen makhluk raksasa umpama buaya.

Sup mi ramen dengan kaki buaya ‘terjulur’ di mangkuk itu memang meraih perhatian.

ADA pengunjung yang datang sekadar untuk merakam gambar menu eksotik itu.

Keunikan menu itu yang kelihatan menyeramkan menempa populariti sehingga dilaporkan media di seluruh dunia termasuk agensi berita antarabangsa CNN dan Daily Mail.

Menurut pemilik restoran Witch Cat di bandar Douliu itu, pelbagai hidangan ramen pelik dan unik ditawarkan di premisnya termasuklah ramen isopod (lipas laut) dan ramen katak gergasi sebelum ramen Godzilla diperkenalkan sekitar hujung Jun lalu.

“Sebenarnya idea memperkenalkan menu ramen kaki buaya ini muncul selepas saya melihat populariti mi ramen isopod diterima baik dan mendapat sambutan luar jangka di Taiwan ini.

“Jadi, tanpa berfikir panjang dan mahu mengikut trend itu, kami pun menawarkan hidangan ramen isopod, ramen katak gergasi dan terbaharu ramen Godzilla,” katanya menerusi satu temu bual bersama media tempatan.

Tambahnya yang hanya ingin dikenali sebagai Hu, idea memperkenal ramen Godzilla tercetus selepas dia pelajari cara memasak sup buaya ketika pergi ke Thailand sebelum ini.

Akuinya, dia dan cef di negara Gajah Putih itu mencipta resipi ramen Godzilla menggunakan 40 rempah ratus terpilih dan berbeza serta mula mempromosikan hidangan tersebut dalam platform media sosial.

Kata Hu, gambar dan video yang dimuat naik memaparkan hidangan mi ramen dengan kaki buaya itu tular dan meraih perhatian netizen Taiwan sebelum tersebar ke serata negara.

“Ya, kami menggunakan 40 jenis rempah ratus terpilih. Apa yang saya pelajari di Thailand bersama cef di sana, saya minta izin untuk promosikan di Taiwan.

“Selain menggunakan bahan utama iaitu kaki buaya, ramen Godzilla juga turut diisi dengan bahan-bahan lain seperti jagung muda, telur, pes ramen pedas, hirisan daging khinzir, potongan limau berserta mi ramen,” katanya.

Tambahnya, setiap hidangan memerlukan masa yang agak lama iaitu sekitar tiga jam kerana kaki buaya itu sendiri akan direbus dan disalai terlebih dahulu agar isinya lembut serta enak dinikmati pelanggan.

Ditanya dari mana bekalan diperolehi, Hu menjelaskan sumber kaki buaya dibekalkan oleh sebuah ladang ternakan buaya di daerah Taitung, lebih kurang 300 kilometer dari restorannya.

“Disebabkan permintaan terlalu tinggi dan tidak putus-putus daripada pelanggan, ladang buaya tersebut hanya mampu membekalkan bekalan kaki buaya yang agak terhad.

“Dalam sehari, hanya beberapa mangkuk ramen Godzilla boleh disediakan kepada pelanggan.

“Biasanya kami hanya boleh jual 10 mangkuk dan tidak lebih dari itu. Ramen Godzilla juga perlu ditempah awal oleh pengunjung yang mahu menikmatinya dan kami tidak mengambil pesanan secara walk in,” ujarnya.

Jelasnya, semangkuk mi ramen Godzilla dijual pada harga NT$1,500 (RM225.60) dan semangkuk ramen tersebut boleh dinikmati untuk dua orang dewasa.

Kata Hu lagi, restoran mereka juga menawarkan khidmat bagi pengunjung yang datang dengan tujuan untuk bergambar bersama hidangan tersebut tanpa makan dan bayaran NT$100 (RM15) akan dikenakan.

Bagi seorang pelanggan, Chio yang juga penduduk tempatan, dia berkesempatan mencuba buat pertama kali hidangan itu bersama suaminya.

Katanya, kali pertama mencuba ramen Godzilla itu, dia dan suaminya sedikit takut dan ragu-ragu kerana tidak pernah makan reptilia berbahaya tersebut.

“Tapi selepas beberapa gigitan dan suapan, saya dan suami rasa tiada apa yang pelik. Rasanya memang unik dan sedap. Rasa isi kaki buaya itu sendiri tidak ubah seperti daging ayam. Tidak jauh beza.

“Cumanya daging buaya rasanya sedikit lebih kenyal dan sesuai dimakan dengan mi berserta kuah sup ramen. Kaki buaya itu juga tidak berbau busuk, hamis dan keras seperti yang ramai fikirkan,” katanya.

Tambahnya, biarpun harga semangkuk ramen Godzilla agak mahal, namun bagi makanan eksotik dan sukar diperoleh sumber bahan mentahnya seperti itu, ia cukup memadai, apatah lagi rasanya lazat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN