fbpx
Kanak-kanak teruja menyertai pertandingan dan memenangi pertandingan yang dijalankan di padang sintetik Akademi Bola Sepak Wira Muda. Jawi di Negeri Sembilan baru-baru ini.

4 tahun impian Shaik Awish tercapai miliki padang bola sintetik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Minat yang mendalam dalam bidang sukan hingga bercita-cita tinggi untuk mewujudkan satu projek padang sintetik telah menaikkan semangat Pengasas Akademi Bola Sepak Wira Muda, Shaik Awish Alkirani Shaik Haronarashib merealisasikan impian tesebut meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang empat tahun membina projek itu.

Padang bola sintetik yang berkeluasan kira-kira 0.8 hektar (seluas dua padang bola ukuran standard) di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang itu menelan belanja hampir RM400,000 dengan konsep pajakan sejak lima tahun lalu membolehkan usahawan yang berusia 30 tahun itu menawarkan perkhidmatan melatih bakat baharu dalam sukan bola sepak.

Projek tersebut penting bagi anak kelahiran tempatan itu ke­rana beliau mahu memberi kemudahan kepada pasukan pemain di bawah Akademi Bola Sepak Wira Muda dan juga kanak-kanak lain yang berminat bermain bola sepak berlatih dan melakukan pelbagai aktiviti kecergasan di situ.

Ini dapat melengkapkan lagi akademi itu dengan kemudahan padang yang berkualiti tinggi sekali gus me­naikkan imejnya serta melahirkan bakat baharu dalam bidang sukan.

“Pada mulanya, saya tidak terfikir untuk menjadi usahawan dalam bidang sukan kerana apa yang saya fokuskan adalah untuk mencari jalan membantu me­ningkatkan mutu permainan bola sepak di peringkat akar umbi

“Susah payah selama empat tahun termasuk terkesan de­ngan pandemik telah berjaya saya harungi dan kini saya berbangga dapat merealisasikan cita-cita itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Shaik Awish Alkirani me­nerangkan, selain modal dalam fasa awal pe­rancangan pembangunan projek padang tersebut, beliau turut tercabar untuk mencari jurulatih terbaik bagi akademi tersebut.

“Bagi skop kejurulatihan, ia semestinya memerlukan jurulatih yang bertauliah dengan tawaran elaun yang setimpal, maka ia ­suatu perkara yang bukan mudah ­untuk diperoleh khususnya di sekitar daerah ini.

“Bagaimanapun berkat soko­ngan daripada pasukan dan pe­ngalaman saya selama ini, masalah tersebut dapat diatasi secara berperingkat,” jelas beliau.

Tambah beliau, untuk terus konsisten dalam bidang mencabar itu, beliau sering bersikap tenang dan sabar serta sentiasa bertanya kepada mereka yang lebih pakar agar membolehkan beliau banyak belajar daripada mentor yang berpengalaman.

Melalui inisiatif tersebut, beliau dapat menguruskan perniagaannya dengan lancar selain mengendalikan pasukan bola sepak dengan semangat juang yang terus konsisten.

Shaik Awish Alkirani melihat projek padang sintetik itu telah menaikkan imej Akademi Bola Sepak Wira Muda yang mana ibu bapa kini lebih berkeyakinan menghantar anak-anak mereka bermain dengan cara yang lebih profesional.

“Kepuasan ibu bapa adalah satu keutamaan saya agar mereka yakin dan mahu memberi peluang kepada kami untuk melatih anak-anak mereka.

“Kami juga mahu menjadikan Akademi Bola Sepak Wira Muda terus menjadi inspirasi bagi usahawan muda yang berhasrat memberi sumbangan kepada dunia sukan serta memajukan bola sepak negara,” ujarnya.

Mengulas mengenai kelebihan menggunakan padang bola sintetik selain padang konvensional, Shaik Awish Alkirani berkata, padang tersebut boleh digunakan dalam apa juga cuaca meskipun panas ataupun semasa musim hujan kerana air tidak bertakung di permukaan padang.

Selain itu, kos pembaikan rumput juga adalah rendah kerana ia menggunakan rumput tiruan serta dapat mengurangkan risiko kecederaan disebabkan permukaan padang yang tidak rata.

Selain kualiti padang yang baik seperti bermain di padang yang terdapat di Eropah, terdapat trend juga pemain suka bergambar ketika bermain di padang tersebut kerana hasil gambarnya begitu cantik, unik dan menarik. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN