fbpx
SCHA ALYAHYA

Tipulah tak rugi – Scha Alyahya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUGASAN saat akhir menemu bual pelakon dan model jelita, Scha Alyahya membuatkan hati penulis sedikit gusar memikirkan portfolio wanita tinggi lampai itu yang sudah kukuh membina nama dalam industri.

Namun mendekati anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, orangnya cukup peramah, keperibadian yang yang ditonjolkannya jauh meleset daripada apa yang tergambar dalam fikiran sebelum ini. Pandai betul pelakon Awan Dania itu membawa diri.

Selepas kali terakhir muncul dalam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa sekitar September tahun lalu, nama Scha seakan-akan menyepi daripada kanvas seni hiburan.
Bukan sengaja memperlahankan rentak kerjaya, Scha sebenarnya memilih untuk memberi ruang kepada perkara lain, terutama keluarga.

“Saya ada, tidak memperlahankan rentak seni. Cuma saya memilih untuk prioritikan perkara lain.

“Selain berlakon, saya ada banyak komitmen yang memerlukan saya untuk ‘keluar’ dari Malaysia (sebagai duta produk).

“Kalau tiba-tiba ditawarkan berlakon dalam drama atau filem, saya terpaksa tolak secara baik.

“Lagi pun saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi,” katanya yang bakal terbang ke Venice, Itali pada penghujung bulan ini untuk menghadiri Festival Filem Antarabangsa di sana selama seminggu.

SCHA berpendapat peranan media sosial hari ini cukup penting untuk mengukuhkan nama seseorang selebriti supaya kekal relevan untuk terus bertapak dalam industri.

Melanjutkan bicara, Scha juga mahu meletakkan nilai eksklusif, selain memberi komitmen utama kepada keluarga.

Sebagai ibu kepada dua orang cahaya mata, Scha berkata, dia perlu bijak membahagikan masa walaupun mengakui terasa rugi meletakkan kerjaya di posisi kedua.

“Selain mahu kekalkan nilai eksklusif, perkara utama yang perlu saya dahulukan adalah keluarga. Saya tidak kata berlakon itu tidak penting. Cuma saya perlu bijak bahagikan masa.

“Tipu kalau saya tidak rasa rugi apabila meletakkan kerjaya di tempat kedua. Misalnya kalau saya dapat berlakon dalam sebuah drama berpuluh-puluh episod, bayaran yang saya terima pun banyak,” ujarnya sambil ketawa.

Selepas 17 tahun mewarnai dunia seni hiburan tempatan sebagai pelakon dan juga model, nama bekas pemenang pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 masih kekal relevan, malah menjadi antara pilihan banyak jenama besar untuk melantiknya sebagai ‘wajah’ produk.

SEBAGAI artis senior, Scha menasihati pelapis muda hari ini supaya pandai untuk membawa diri selain berpegang pada niat sebenar jika memilih untuk terjun dalam bidang seni.

Persaingan

Kehadiran bintang-bintang baharu juga tidak ‘memadam’ populariti isteri kepada pelakon dan pengacara, Awal Ashaari itu untuk terus kekal relevan.
Tidak menganggap kehadiran muka-muka muda yang menghiasi kanvas seni hiburan hari ini sebagai pesaing, Scha berpendapat situasi sebegitu sudah menjadi kitaran dunia seni hiburan.

“Saya juga pernah menjadi pendatang baharu suatu ketika dahulu. Sebagai selebriti, kita tidak selamanya berada di puncak kerana peredaran masa itu berlaku dan akan ada muka-muka baharu yang akan menggantikan posisi kita suatu hari nanti,” katanya.

Dedah selebriti yang digelar sebagai ikon fesyen itu, sejujurnya dia tidak teringin menjadi artis, lebih-lebih lagi bergelar pelakon selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja.

Kata Scha, jiwa dan minatnya bukan ke arah itu lakonan. “Sejujurnya, saya tidak teringin pun nak jadi artis, lebih-lebih lagi pelakon. Enam bulan pertama selepas menang Dewi Remaja, saya masih tertanya-tanya, nak terjun ke bidang seni atau tidak.

“Saya sertai Dewi Remaja pun selepas disuruh oleh ibu. Tapi perancangan Allah SWT itu baik,” ujar Scha yang sentiasa mengingati pesanan ibu bapanya supaya sentiasa menjaga diri.

PENGALAMAN selama hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni mematangkan Scha untuk bertenang, terutama saat berdepan perkara-perkara yang boleh mendatangkan amarah. – Foto DIOR dan DIAMOND PLATINUM

Politik

Keluar daripada topik seni, perbualan teralih isu semasa berkaitan landskap politik negara, lebih-lebih lagi selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN), semalam.

Agak terkejut dengan persoalan yang diajukan, wanita berusia 40 tahun itu rasional meneruskan perbualan.

Sebagai rakyat Malaysia, bekas pramugari itu mengakui tetap mengambil tahu situasi politik bukan sahaja dalam bahkan luar negara.

Enggan berpihak pada mana-mana parti politik, Scha berharapkan pihak yang menerajui kepimpinan negara mampu membawa semula kestabilan ekonomi yang dilihat sedikit terkesan.

“Saya tidak pandai soal politik, tetapi selain kedamaian dan keharmonian, saya mengharapkan kestabilan ekonomi negara kembali kukuh,” katanya telus.

Melihat pada situasi tersebut, ibu kepada Lana Alana, 9, dan Lyla Amina, 2, itu juga telah mengubah tabiat boros menjadi lebih berjimat mengatur perbelanjaan keluarga.

“Saya dan suami selalu berbincang tentang perkara ini (ekonomi). Semua benda mahal sekarang. Jadi kami kena tahu antara kehendak dan keperluan.

“Sekarang saya nak beli sepasang kasut pun perlu fikir 10 kali. Anak-anak pun saya sudah mula terapkan amalan menabung untuk masa depan mereka.

“Walaupun sekadar RM50 sebulan, janji ada simpanan untuk masa depan. Bila keluarga sudah bertambah dan pada masa sama perlu menjaga ibu bapa, jadi ‘permainan’ itu sudah berubah,” kata Scha yang menolak untuk terjun dalam bidang politik sekali pun ada peluang.

ENGGAN menyatakan pendirian politiknya, Scha hanya berharap mana-mana pihak yang telah beroleh kepercayaan menjadi pemimpin agar berusaha mengukuhkan kembali kestabilan ekonomi negara ketika ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN